FIFA bakal anjur Piala Dunia di 3 benua berbeza


  • Podium
  • Khamis, 05 Okt 2023

Piala Dunia pada 2030 bakal diadakan di tiga benua berbeza. — Agensi

PERTANDINGAN bola sepak terulung di dunia, Piala Dunia bakal mengalami satu perubahan yang semua pihak jangka ia akan berlaku.

Sebelum ini, acara bola sepak yang diadakan setiap empat tahun ini dibuat pada satu-satu lokasi sahaja. Sebagai contoh, Qatar menjadi tuan rumah untuk kejohanan tersebut pada edisi 2022.

Piala Dunia diadakan di pelbagai benua sejak kali pertama dipertandingkan pada 1930 dan hanya ketika edisi 2002 ia menyaksikan dua negara menjadi tuan rumah iaitu Korea Selatan dan Jepun.

Tetapi, pada edisi 2030 kelak, bilangan tuan rumahnya bukanlah dua tetapi meningkat kepada enam!

Hal ini disebabkan, pihak FIFA bercadang untuk mengadakan pertandingan Piala Dunia pada 2030 merentasi pelbagai benua bersempena sambutan 100 tahun kejohanan tersebut.

Menurut wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano, FIFA dikatakan bersedia untuk menamatkan perebutan hak tuan rumah Piala Dunia 2030 melibatkan dua blok pakatan melibatkan enam negara.

Sepanyol, Portugal dan Maghribi bergabung melakukan bidaan dengan harapan akan mengadakan Piala Dunia di dua benua berbeza iaitu Eropah dan Afrika buat pertama kali.

16369260594598

Sepanyol pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 1982. — Agensi

Sementara Argentina, Uruguay dan Paraguay menghasilkan pakatan Amerika Selatan ingin membawa Piala Dunia pulang ke benua tersebut sebagai simbolik lokasi pertama kejohanan itu diadakan pada 1930.

Namun begitu, FIFA dilihat lebih terbuka kepada idea untuk mengadakan Piala Dunia 2030 di Sepanyol, Portugal dan Maghribi. Oleh itu, tiga negara itu akan diangkat sebagai tuan rumah kelak.

Tetapi kerana tidak mahu ketepikan nilai sentimental kejohanan, FIFA turut bersedia memberikan hak tuan rumah kepada Argentina, Uruguay dan Paraguay. Ketiga-tiga negara ini akan diberikan hak mengadakan perlawanan pertama masing-masing di negara sendiri sebelum menghabiskan baki kejohanan di Sepanyol, Portugal dan Maghribi.

Jika aturan ini menjadi realiti, maka kesemua enam negara akan layak secara automatik ke saingan Piala Dunia 2030 dan ia buat kali pertama dilakukan di tiga benua berbeza (Eropah, Afrika, Amerika Selatan).

Sebagai rekod, Uruguay merupakan tuan rumah pertama Piala Dunia pada 1930 serta juara sulung kejohanan manakala Argentina adalah lawan mereka di perlawanan akhir tersebut.

Ketika itu, Uruguay menewaskan Argentina dengan jaringan 4-2. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram