Bukan saja 'baran' Akmal Zahir, isu luar padang jadi sebutan punca Kedah tersungkur


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Kesilapan Akmal dibayar dengan dua kad kuning sebelum dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan. — Facebook/MFL

KEDAH Darul Aman (KDA) FC sah tidak dapat merangkul sebarang piala pada musim ini selepas peluang terakhir mereka di saingan Challenge Cup punah di tangan Kuching City pada perlawanan kedua suku akhir.

Skuad The Cats menang 3-0 pada aksi kedua Challenge Cup di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu itu dan keputusan agregat 4-0 mengesahkan slot separuh akhir milik kelab berpangkalan di Borneo tersebut.

Pada babak pertama perlawanan, Sang Kenari terus diasak dengan pelbagai percubaan dari barisan serangan Kuching City dan akhirnya tandukan kemas dari Abu Kamara menerusi situasi set piece meletakkan Kuching City di hadapan seawal minit kesembilan.

Aksi di Darul Aman itu bertambah hangat apabila berlaku insiden kontroversi membabitkan pertahanan pasukan tuan rumah, Akmal Zahir sehingga memaksa pengadil, Kamal Ikhwan melayangkan kad kuning kepadanya.

Bukan satu tapi dua kad kuning serentak diterima oleh bek tengah berusia 29 tahun itu susulan gagal mengawal emosi selepas menanduk kepala pemain The Cats pada minit-32 perlawanan.

WhatsApp Image 2023-10-04 at 22.23.56

Kamara meledak gol pertama untuk The Cats. — Facebook/KuchingCity

Rentetan kad merah tersebut, penyokong Sang Kenari mula mempersoalkan sikap panas baran bek tengah itu yang mana menjadi duri dalam daging buat pasukan Utara tanah air berkenaan.

“Kita kad merah paling banyak..itu satu pencapaian yang harus dibanggakan,” sindir penyokong KDA FC, Sobry Ahmad.

“Mental koyak, buat rugi pasukan,” kata penyokong Sang Kenari, Nizam Muhamad.

Di separuh masa kedua, anak-anak buah Aidil Sharin Sahak terus melebarkan penguasaan mereka di laman tuan rumah selepas Petrus Shitembi menghantar bola kepada Pedro Henrique untuk melengkapkan jaringan kedua The Cats pada minit ke-72.

Pemain berjersi 90, Henrique terus menambah derita buat skuad Sang Kenari apabila meledak gol ketiga buat Kuching City dan mudah menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Kekecewaan tewas di tangan Kuching City membuatkan penyokong sekali lagi membangkitkan isu dalaman yang dijangka punca Kedah mengalami penurunan prestasi kebelakangan ini.

“Dah swasta tapi kewangan tak kukuh. Lupppp,” kata penyokong KDA FC, Naim MisaiFIx.

“Masalah yang pasukan hadap kami sebagai penyokong nak tahu juga. Takkan satu usaha ataupun cara nak selesaikan kalau betul-betul kelab ada masalah gaji. Yang pemilik pun takkan berdiam saja,” komen penyokong, Normanzie Abdullah.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan beberapa hantaran luahan daripada ultras KDA FC, isu dalaman tersebut seperti merujuk kepada masalah tunggakan gaji namun kesahihannya masih menjadi tanda tanya penyokong.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Khamal Idris Ali enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai isu kontroversi yang menimpa kem KDA FC.

"Saya tidak mahu komen lagilah. Tidak nak kata apa-apa sebab dalam majlis. Untuk waktu ini tak lagi kot. Saya tidak boleh sahkan apa-apa pasal itu (masalah gaji).

"Kalau kita inform pun nanti tidak menepati, jadi tiada apa-apalah pasal situasi ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram