[VIDEO] Gara-gara beri Jepun penalti, pemain Korea Utara mahu bantai pengadil ketika suku akhir Sukan Asia


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Situasi ketika pemain Korea Utara mengejar dan dilihat ingin menyerang Rustam secara fizikal. — AFP

INSIDEN tidak terkawal berlaku selepas aksi suku akhir bola sepak Sukan Asia Hangzhou antara Korea Utara dan Jepun yang mana menyaksikan pasukan negara Matahari Terbit itu lolos ke separuh akhir.

Barisan pemain Korea Utara menyerang pengadil di padang susulan pegawal perlawanan itu memberi penalti pada minit ke-80 kepada Jepun yang membuatkan Korea Utara tersingkir di peringkat suku akhir dengan keputusan 1-2.

Memetik laporan Reuters dan berdasarkan video tular, Kapten Korea Utara, Jang Kuk-chol dan rakan sepasukannya, Kim Kyong-sok membantah dan mengejar pengadil dari Uzbekistan, Rustam Lutfullin selepas wisel penamat ketika dia cuba keluar dari padang.

Pengadil dari Uzbekistan itu memberikan penalti kepada Jepun selepas penjaga gol mereka Kang Juh-yok meluru keluar dari kawasannya dan menjatuhkan tonggak skuad Nippon, Jun Nishikawa.

Yuta Matsumura menjaringkan gol kemenangan dari sepakan penalti untuk membolehkan Jepun mara ke separuh akhir.

Ketika pemain pasukan Korea Utara itu mengejar dan dilihat ingin menyerang Rustam secara fizikal, ketua jurulatih negara itu, Sin Yong-nam membantu petugas keselamatan untuk meredakan keadaan.

"Saya akui bahawa pemain kami agak teruja dalam perlawanan itu tetapi ini adalah bola sepak.

"Tetapi terdapat konfrontasi dalam perlawanan bola sepak.... Saya rasa tingkah laku kami boleh diterima,” kata Yong-nam pada sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih Jepun, Go Oiwa enggan mengulas mengenai insiden itu apabila ditanya dan hanya menganggap ada beberapa perkara yang mereka tidak boleh terima dalam aksi berkenaan.

Dengan kemenangan ke atas Korea Utara, Jepun mara ke separuh akhir dan bakal menentang Hong Kong yang menewaskan Iran di suku akhir.

Manakala, satu lagi aksi separuh akhir menemukan juara bertahan Sukan Asia, Korea Selatan dan Uzbekistan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram