PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Jumaat ini dan antara wajah baharu ialah penjaga gol Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin.
Pestabola Merdeka akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober dijangka bakal menjadi pentas terbaik buat skuad kendalian Kim Pan-gon untuk menguji kekuatan menjelang Piala Asia di Qatar tahun depan.
Edisi kali ini akan disertai oleh tiga negara yang menduduki ranking lebih baik berbanding Malaysia iaitu Palestine, Lebanon dan India dengan menggunakan format secara kalah mati.
Anak-anak buah Kim Pan-gon akan berdepan pasukan di ranking ke-99 dunia, India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023, 13 Oktober ini manakala Palestin menentang Tajikistan pada hari yang sama.
Dalam senarai 25 pemain itu juga, ketua pasukan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Mukhairi Ajmal juga menjadi pilihan jurulatih dari Korea Selatan itu untuk digunakan khidmatnya di bahagian tengah.
Mukhairi bersyukur mendapat peluang beraksi bersama skuad senior. — Facebook/FAM
Memetik laporan dari Selangorfc.com, pemain berusia 22 tahun itu menyatakan hasratnya untuk mempamerkan aksi yang terbaik daripada pengalamannya sepanjang musim ini.
"Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi peluang untuk bersama skuad senior Kebangsaan tahun ini. Sebagai seorang pemain, tak ada lain selain berikan yang terbaik di setiap peluang yang diberikan.
“Saya akan balas kepercayaan barisan jurulatih, peroleh ilmu sebanyak yang boleh serta menggunakan pengalaman yang ada untuk berikan aksi yang terbaik untuk Malaysia," menurut pemain tonggak Selangor FC tersebut.
Selain Mukhairi, empat lagi tonggaK Selangor FC yang terpilih dalam senarai akhir ialah Brendan Gan, Faisal Halim, Quentin Cheng dan Sharul Nazeem bagi membuat persediaan menghadapi Kejohanan Pestabola Merdeka edisi ke-42.
Selain itu, Khuzaimi Piee, Haiqal Lau, Fazly Mazlan, Samuel Somerville dan Harith Haiqal berada di dalam senarai 'bersedia' untuk kem latihan yang akan bermula pada 6 Oktober 2023 ini. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram