Walaupun masih di belakang Indonesia, tapi nilai Liga Super paling progresif sejak 2022


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Nilai pertandingan Liga Super semakin meningkat dari tahun ke tahun. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

SABAN tahun, reputasi Liga Super semakin mendapat perhatian baik di peringkat Asia Tenggara atau benua Asia secara keseluruhan.

Reputasi ini datang dari pelbagai sudut baik yang positif atau negatif. Ia telah membantu membuatkan lebih banyak pihak mengenali saingan domestik negara kita dan liputan semakin meluas.

Penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) juga setiap tahun berusaha untuk memastikan Liga Super mendapat darjat yang sepatutnya dalam dunia bola sepak dan hasil itu sudah mula kelihatan.

Menurut pendedahan oleh laman Transfermarkt, Liga Super diletakkan di kedudukan ketiga dalam kategori liga paling bernilai di Asia Tenggara.

Liga Super dinilaikan dengan jumlah sebanyak €55.24 juta (RM273 juta). Sebagai rekod, saingan domestik Malaysia masih lagi jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan liga di Indonesia serta Thailand.

Liga 1 Indonesia merupakan liga paling bernilai di Asia Tenggara iaitu berjumlah €74.32 juta (RM368 juta) manakala Thai League 1 menduduki tangga kedua dengan €74.30 (RM367 juta).

Walaupun masih lagi ketinggalan dengan dua liga tersebut, Liga Super merupakan saingan paling progresif dari segi nilai apabila mengalami peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya.

Pada musim 2022, Liga Super dinilaikan dengan jumlah €37.44 juta (RM185 juta). Peningkatan sejumlah €17.8 juta (RM88 juta) ini adalah yang tertinggi dalam kalangan saingan bola sepak Asia Tenggara.

383349562_855287959445193_2458336051888199582_n

Liga Super merupakan liga paling progesif di Asia Tenggara. — Facebook/Penang FC

Kedudukan Liga Super ini berjaya mengatasi V.League yang berada di kedudukan keempat dengan €38.05 juta (RM188 juta) dan Singapore Premier League (S-League) dinilaikan pada €20.07 juta (RM99 juta).

Perbandingan antara Liga Super dan V.League adalah lebih setara kerana kedua-dua pertandingan mengamalkan format 14 pasukan.

Berikut merupakan senarai penuh kedudukan liga paling bernilai di Asia Tenggara:

  1. Liga 1 Indonesia (Indonesia) - €74.32 juta (RM368 juta)
  2. Thai League 1 (Thailand) - €74.30 (RM367 juta)
  3. Liga Super (Malaysia) - €55.24 juta (RM273 juta)
  4. V.League (Vietnam) - €37.44 juta (RM185 juta)
  5. S-League (Singapura) - €17.8 juta (RM88 juta)
  6. Myanmar National League (Myanmar) - €14.16 juta (RM70 juta)
  7. Cambodia League (Kemboja) - €13.09 juta (RM65 juta)
  8. Laos Premier League (Laos) - €5.08 juta (RM25 juta)
  9. Philippines League (Filipina) €2.07 juta (RM10 juta)

Nilai ini dilihat cukup baik untuk Liga Super dan semoga ia akan semakin meningkat pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram