Angkara patung kontroversi, Al-Ittihad boikot aksi ACL bertemu Sepahan


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Al-Ittihad tidak beraksi menentang Sepahan kerana memprotes provokasi dilakukan kelab Iran tersebut. — Facebook/Al-Ittihad

PERTEMBUNGAN Liga Juara-Juara AFC (ACL) sememangnya menarik, tidak kisahlah sama ada ia melibatkan kelab-kelab di zon timur atau barat.

Di zon barat, tumpuan terarah kepada jaguh-jaguh dari Iran, Arab Saudi dan juga Uzbekistan. Setiap kali mereka bertemu, pasti akan ada cerita menarik dihasilkan oleh perlawanan tersebut.

Itulah yang terjadi ketika perlawanan melibatkan wakil Iran, Sepahan dan kelab Arab Saudi iaitu Al-Ittihad. Ketika kedua-dua pasukan ini bertemu di Stadium Nagsh-e-Jahan dekat Isfahan pada Isnin, wakil Arab Saudi itu dilihat tidak mahu turun bermain.

Kenapa kelab yang dianggotai Karim Benzema dan N'Golo Kante ini tidak mahu turun sedangkan sudah berada di Iran? Tidakkah rugi membuang masa apabila sudah sampai tapi enggan beraksi?

Jawapannya adalah kerana, pihak Sepahan melakukan provokasi dengan meletakkan sebuah patung yang merujuk kepada pemimpin Iran iaitu Qasem Soleimani.

Sebagai konteks, Qasem Soleimani merupakan pegawai ketenteraan Iran yang dibunuh pada 2020 oleh serangan dron oleh Amerika Syarikat di Baghdad, Iraq.

FB_IMG_1696293830059-1080x640

Patung Qasem Soleimani diletakkan di gelanggang Sepahan. — Agensi

Skuad Al-Ittihad dikatakan tidak mahu meninggalkan bilik persalinan mereka selepas mendapat tahu patung Soleimani diletakkan betul-betul di laluan pemain memasuki padang berdekatan dengan bangku simpanan.

Jaguh Arab Saudi itu berasakan tindakan Sepahan ibarat ingin membakar api provokasi kerana sebelum ini hubungan diplomatik kedua-dua negara tidak begitu baik hinggalah China muncul sebagai pendamai pada Mac 2023.

Oleh kerana protes yang dilakukan tersebut telah memaksa pihak AFC untuk membatalkan aksi tersebut atas alasan "keadaan yang tidak dijangka".

"Pihak AFC mengulangi komitmennya ke arah memastikan keselamatan dan pemain, pegawai, perlawanan, penonton dan semua pihak berkepentingan yang terlibat.

"Perkara ini akan dirujuk ke pihak yang berkaitan," kata AFC dalam kenyataan mereka.

Sebelum ini, perlawanan melibatkan Persipolis dan Al-Nassr terpaksa diadakan dalam stadium kosong kerana hukuman AFC terhadap kelab Iran tersebut berpunca dari kelakuan penyokong.

Sebagai rekod, musim ini adalah kali pertama perlawanan antara kelab Iran dan Arab Saudi diadakan di stadium kelab masing-masing. Sejak 2016, kesemua aksi melibatkan dua kelab negara ini perlu diadakan di gelanggang berkecuali. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram