[VIDEO] Gara-gara batalkan gol, pengadil ditumbuk di Perlis sehingga luka, lebam di mata kanan


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Tangkap layar memaparkan pegawai Lion Junior FC (dua dari kiri) beberapa saat sebelum menumbuk pengadil perlawanan.

PERLAWANAN akhir Liga Super Perlis antara Guar Syed Alwi dan Lion Junior FC di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis pada Sabtu bertukar hangat.

Keputusan pengadil untuk membatalkan gol Lion Junior menyaksikan staf kejurulatihan pasukan berang dengan perkara berkenaan sehingga mereka menyuarakan rasa kurang puas hati itu.

Situasi kemudiannya menjadi lebih teruk pada penghujung perlawanan apabila beberapa kakitangan memasuki kawasan padang untuk mempersoalkan mutu pengadilan.

Berang apabila keluhan mereka tidak didengari, seorang pegawai pasukan Lion Junior bertindak menumbuk pengadil terbabit yang sedang berjalan meninggalkan padang.

Kejadian terbabit sempat dirakam penonton perlawanan yang kemudiannya memuat naik insiden terbabit di laman Twitter Pemerhati Pengadil pada Ahad.

Tidak cukup dengan itu, mangsa keganasan berkenaan bertindak membuat satu laporan polis apabila situasi tersebut menyebabkan pengadil itu mengalami kecederaan.

Memetik laporan agensi media tempatan, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Rodi berkata, mangsa dilaporkan mengalami luka pada kening kanan dan lebam di mata kanan.

“Pengadu yang merupakan seorang guru kolej mendakwa telah ditumbuk setelah selesai mengadili perlawanan akhir tersebut membabitkan pasukan Lion Junior FC menentang Guar Syed Alwi.

“Pengadu juga telah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian mata serta luka sepanjang 0.2 sentimeter," katanya.

Aksi Liga Super Perlis terbabit menyaksikan Guar Syed Alwi meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan tunggal Arif Nazdman Roslan pada minit ke-70 permainan.

Kemenangan berkenaan sekali gus membolehkan pasukan terbabit membawa pulang wang bernilai RM5,000 sementara Lion Junior FC yang bergelar naib juara memperolehi wang tunai RM3,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram