Hilang khidmat 5 tonggak tapi TFC ada motivasi besar tewaskan Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Terengganu akan melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat. — Facebook/TFC

SELEPAS layak ke suku akhir Piała Malaysia, Terengganu TFC (TFC) sekali lagi dijadual menentang Selangor FC bagi pertemuan kedua saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat.

TFC sebelum ini mengecewakan Gergasi Merah dalam dua perlawanan timbal balik suku akhir apabila menang 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 September diikuti seri 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 September sekali gus ditunjukkan jalan keluar secara agregat 1-3.

Jika diimbau perlawanan pertama Liga Super pula, skuad Sang Penyu mencatatkan kekalahan terbesar di tangan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe apabila tewas 1-5 dalam aksi di laman Gergasi Merah pada 18 April lalu.

Terdapat sesetengah penyokong mula risau persembahan Terengganu pada malam ini selepas pengendalinya, Tomislav Steinbruckner menyatakan bahawa lima tonggak utamanya di bahagian pertahanan dan sayap terpaksa direhatkan daripada menjalani latihan akibat kecederaan yang agak serius.

Pemain-pemain yang dimaksudkan ialah pemain sayap, Sony Norde, Engku Muhammad Nur Shakir, Nor Hakim, Nik Muhammad Sharif Haseefy dan pertahanan tengah kental, Shahrul Nizam.

Namun kehilangan tersebut nampaknya tidak menjadi masalah buat skuad Sang Penyu apabila mereka mempunyai motivasi lain untuk menampilkan persembahan cemerlang dan sekali gus mendapat kemenangan berharga di laman sendiri pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-09-29 at 16.22.38

Tangkap layar ciapan dari laman penyokong itu.

Motivasi tersebut hadir kerana anak-anak buah Tomislav pastinya ingin memberi kemenangan terakhir untuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ab Rasid Jusoh yang difahamkan akan menjalankan tugas terakhirnya pada malam ini.

“Malam ini hari terakhir CEO menyaksikan perlawanan sebagai CEO, selamat maju jaya dan terima kasih atas khidmat bakti sepanjang bersama pasukan Terengganu,” kata laman penyokong TFC, Terengganu11 di laman X pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pihak pengurusan Peteh bakal melantik seorang CEO baharu baru menggantikan Ab Rasid dan individu tersebut dijangka diumumkan pada bulan hadapan.

Ab Rasid mula dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada Oktober 2020 yang mana sebelum itu beliau menggalas tanggungjawab sebagai CEO T-Team FC pada tahun 2013 hingga 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram