[VIDEO] Kacak kongsi niat sebenar 'mama' di Stadium Perak, dedah perkembangan beli TRW


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Vida (tengah) ketika aksi suku akhir Piala Malaysia antara Perak FC dan Sabah FC.

SELEPAS beberapa bulan mencuba nasib untuk memiliki Kelantan FC, usahawan selebriti, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau mesra dipanggil Datuk Seri Vida (DSV) difahamkan semakin tiada hati untuk menawan kelab Pantai Timur tanah air itu.

DSV yang pernah menjadi penaja utama Kelantan dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017 dianggap antara individu sesuai untuk mengambil semula The Red Warriors (TRW).

Namun sejak kebelakangan ini, isu pemilikan baharu Kelantan semakin pudar daripada menjadi topik utama dibincangkan dan pemilik kelab, Norizam Tukiman juga tidak memberi sebarang perkembangan mengenai pemilikan baharu tersebut.

Berkongsi kepada Majoriti mengenai perkembangan tersebut, anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau lebih terkenal sebagai Kacak mendedahkan bahawa ibunya semakin hilang minat untuk memiliki Kelantan.

"Sekarang ini tiada perkembangan buat masa ini sebab kami dah hilang minat dengan Kelantan FC sebab bos iaitu mama (DSV) dah makin hilang minat.

"Masalah prestasi dan banyak benda buat mama dah makin hilang minat. Tapi kami tidak boleh kongsi lagi pasal itu," katanya ringkas kepada Majoriti ketika ditemui pada majlis pelancaran EA Sports FC24.

Jika ada peluang untuk memiliki sebuah pasukan, Kacak menjadikan bekas pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak sebagai idola untuk menguruskan pemain kerana kejayaannya sebelum ini bersama beberapa kelab termasuk Kelantan pada musim 2012-13.

Dalam perkembangan berbeza, usahawan muda itu juga mengulas mengenai khabar angin DSV dikaitkan dengan Perak FC apabila beliau didapati hadir ke di Stadium Ipoh, Perak ketika aksi timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia.

Ketika aksi Perak FC menang 3-2 secara agregat ke atas Sabah FC itu, ahli perniagaan kosmetik itu kelihatan berada di sebelah CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir dan seorang pegawai dari Perak FC yang kurang dikenal pasti identitinya.

"Sedikit pun tiada niat nak beli Perak FC. Kami hanya datang sebagai jemputan Sabah FC. Saja nak tengok macam mana Sabah FC dan Perak FC main," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram