Gaby Guerra-JDT saling merindui, imbauan gambar dan 'throwback' hatrik jadi pengutus


  • Podium
  • Ahad, 24 Sep 2023

Gabriel Guerra yang pernah mewarnai Liga M ketika bersama JDT pada tahun 2017. — Facebook/JDT

NAMA Gabriel Guerra yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) ketika bersama kelab Johor Darul Takzim (JDT) kembali meniti di bibir penyokong bola sepak tanah air khususnya penyokong Harimau Selatan.

Ini selepas bekas penyerang JDT itu memuat naik satu hantaran Instagram Story membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan bersama rakan sepasukannya ketika itu, Junior Eldstal dan Mohd Izham Tarmizi (kini di Sri Pahang FC sebagai pemain pinjaman).

Gambar tersebut dirakam ketika peledak dari Argentina itu berada dalam skuad utama JDT untuk beraksi dalam satu perlawanan Liga M pada 23 September 2017, iaitu kira-kira enam tahun lepas.

ig

Hantaran Instagram Story Guerra yang memaparkan dirinya membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan bersama rakan sepasukannya ketika itu, Junior Eldstal dan Mohd Izham Tarmizi. — Instagram

Hantaran tersebut seolah-olah menggambarkan kerinduan Guerra untuk beraksi semula selepas lama bergelar ejen bebas apabila dia tidak memiliki kelab selama dua musim setelah meninggalkan Sarawak United FC pada 2020.

Itupun dia tidak sempat beraksi dengan skuad Ngap Sayot berikutan Liga Malaysia dihentikan seketika gara-gara penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan sama, kelab JDT menerusi Instagram @officialjohor turut membuat hantaran throwback apabila memuat naik video ketika Guerra meledak hatrik untuk membantu JDT mengalahkan Magwe FC 3-1.

Tiga jaringan daripada penyerang berusia 30 tahun pada aksi terakhir Kumpulan F itu sekali gus membolehkan JDT melangkah ke separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara.

Ia juga adalah lakaran hatrik pertama Guerra pada saingan Piala AFC untuk memastikan kemenangan 3-1 buat JDT.

Pada awal musim 2023, Guerra pernah dikaitkan dengan beberapa kelab Liga M antaranya Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Sabah FC dan Kelantan FC.

Ini selepas Guerra kononnya memberi bayangan akan kembali ke pentas bola sepak Malaysia apabila memuat naik foto ketika menyarung jersi JDT dan PKNS beberapa tahun yang lalu.

III

Guerra pernah mempamerkan aksi yang cemerlang bersama JDT. — Facebook/JDT

"One more try, for the last dance. Let's go! (Percubaan terakhir, untuk yang terakhir kalinya. Ayuh!)," tulisnya dalam posting pada April lalu.

Kapsyen yang dimuat naik Guerra memberi bayangan seolah-olah dia bakal kembali beraksi di Liga M dan mahu destinasinya kali ini sebagai khidmat terakhir sebelum persaraan.

Namun, setelah beberapa bulan berlalu dengan Liga Super musim ini berbaki empat perlawanan, posting Guerra itu boleh dilihat sebagai hanya sekadar imbauan kenangan lepas. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram