UBI muda meningkat naik Terengganu FC (TFC), Muhammad Syahmi Zamri mempamerkan peningkatan prestasi yang membanggakan sehinggakan dia membuka akaun jaringan buat kelabnya dalam aksi Piala Malaysia antara skuad Sang Penyu menentang Selangor FC pada Sabtu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, Syahmi Zamri yang dimasukkan sebagai pemain gantian itu berjaya membuktikan dia layak berada dalam skuad utama.
Pada perlawanan tersebut, jaringan Syahmi Zamri yang terhasil daripada tandukkan padunya pada separuh masa kedua meletakkan pasukannya pada kedudukan selesa.
Kedudukan 2-0 itu kekal memihak kepada tuan rumah sebelum aksi timbal balik pada 24 September ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.
Syahmi Zamri yang dimasukkan sebagai pemain gantian itu berjaya membuktikan dia layak berada dalam skuad utama. — Instagram/TFC
Melihat kepada prestasinya itu, tidak hairanlah pada ketika ini dia menjadi bualan penyokong.
Manakan tidak, penyerang muda yang baru saja diserap ke skuad utama itu bukan sahaja mempunyai larian deras tetapi turut tajam di depan gol apabila memberikan sinar dalam kalangan penyokong kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Malah, ada yang mengatakan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner membuat satu langkah berani menggantikan Ivan Mamut dengan Syahmi Zamri pada perlawanan tersebut.
Untuk rekod, pemain berusia 23 tahun itu pada mulanya bermain di skuad junior Terengganu FC II (TFC II) pada awal Julai lalu. Sebelum itu, Syahmi Zamri juga pernah bermain untuk Petaling Jaya City FC dan Felda United.
Sepanjang bersama Terengganu FC, Syahmi Zamri diturunkan sebanyak enam kali dalam aksi Liga Super dan dua kali dalam Liga Malaysia dan sudah berjaya menjaringkan satu gol.
Sehubungan itu, ramai yang berharap pihak pengurusan skuad Sang Penyu 'mengikat' pemain muda tersebut agar tidak terlepas ke kelab lain dan mahu dia dikekalkan di Gong Badak untuk jangka tempoh yang panjang.
Ramai yang berharap pihak pengurusan skuad Sang Penyu 'mengikat' Syahmi Zamri agar tidak terlepas ke kelab lain. — Facebook/TFC
"Rajin kejar bola dia (Syahmi Zamri). Simpan molek (bagus) barang A," kata Are Tzu.
Malah, seorang penyokong, Ameerul Eiman berasakan corak Syahmi Zamri mirip seperti pemain Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad.
"Macam gaya Syafiq Ahmad pun ada," katanya.
"Bakal striker utama TFC untuk masa depan. Terbaik Tomi angkat bakat-bakat muda ke skuad senior. Yang molek (bagus) kita sokong," kata Bang Jamil pula.
"The Next Safawi Rasid. Boleh digilap lagi bagi selalu main," kata Cucuwa Leleh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram