TERMA 'underrated' merupakan sesuatu yang cukup sering diguna pakai dalam dunia bola sepak untuk menceritakan mengenai tahap kecemerlangan seorang pemain.
Frasa, atau juga label itu kerap diberikan sekiranya seseorang itu kerap memberikan aksi cemerlang, namun kurang diberikan perhatian media.
Tidak cukup dengan itu, seorang pemain juga dikatakan 'underrated' sekiranya dia jarang diberikan peluang untuk mewakili pasukan negara masing-masing.
Perkara berkenaan juga bukanlah asing dalam arena bola sepak tanah air memandangkan peminat sukan berkenaan sering mendapati terdapatnya pemain yang kurang diberikan perhatian.
Hal itu disebabkan lambakan bintang-bintang berkualiti sepanjang zaman sehingga menyukarkan pihak media untuk memberikan pengiktirafan terbaik untuk mereka.
Meskipun terdapat pendedahan lebih meluas ketika ini, pemain-pemain 'underrated' ini bagaimanapun sukar meraih perhatian ramai.
Namun, kekurangan tersebut tidak memberi impak terhadap kecemerlangan masing-masing apabila mereka kerap mengerah keringat sebaik mungkin setiap kali berada di atas padang.
Sumbangan tersebut membolehkan mereka meraih hubungan yang cukup baik dengan penyokong tersendiri sehingga ada yang tertanya-tanya setiap kali pemain berkenaan tidak diturunkan.
Jadi, Majoriti memilih untuk menyenaraikan tiga pemain yang dikategorikan 'underrated' bagi menyanjung sumbangan mereka dalam landskap bola sepak tanah air.
Tidak cukup dengan itu, punca di sebalik kesukaran untuk meraih perhatian ramai turut disertakan untuk memberi pencerahan lebih meluas.
1. Shahrul Nizam Ros Hasni (Gaya permainan tradisional)
Meskipun memiliki satu karier yang cemerlang bersama Terengganu FC, bek tengah berusia 25 tahun, Shahrul Nizam Ros Hasni tidak pernah diberikan peluang dalam Harimau Malaya.
Perkara tersebut menyebabkan orang ramai terus tertanya mengenai kesukarannya untuk meraih perhatian Kim Pan-gon bagi diberikan penampilan dengan kerap.
Bagaimanapun, hal berkenaan bukanlah disebabkan prestasi permainannya yang tidak cemerlang, namun dilihat berpunca daripada gayanya yang kurang sesuai.
Kehadiran Shahrul Nizam cukup diraikan penyokong skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Jika diperhatikan dalam pendekatan taktikal Terengganu FC sejak kehadiran Shahrul Nizam, mereka kurang memberikan tanggungjawab bagi seorang bek tengah untuk mengawal bola.
Situasi itu dilihat berpunca daripada kualiti pemain tengah yang dimiliki mereka, lebih-lebih lagi Habib Haroon yang tidak memerlukan barisan pertahanan untuk memegang bola.
Jika hendak dibandingkan dengan gaya permainan skuad kebangsaan ketika ini, seorang bek perlu memiliki kebolehan untuk mengawal bola, seperti Dominic Tan, Dion Cools serta Matt Davies.
Oleh itu, hal terbabit menyebabkan Shahrul Nizam kurang diberikan perhatian dengan dia hanya perlu berpuas hati untuk berada dalam senarai menunggu.
2. Azmi Muslim (Lambakan bek tengah)
Ketika awal dekad lalu, arena bola sepak negara dibanjiri lambakan pemain pertahanan berkualiti, baik di peringkat kelab mahupun buat skuad kebangsaan.
Aidil Zafuan, Muslim Ahmad serta Asraruddin Putra Omar merupakan antara bek yang sering menampilkan persembahan cemerlang dengan nama mereka sering disebut-sebut.
Namun, pertahanan tengah kelahiran Pulau Pinang, Azmi Muslim boleh diangkat sebagai seorang bek tengah yang cukup konsisten sepanjang kariernya.
Azmi sukar meraih perhatian ramai apabila terdapatnya lambakan bek tengah berkualiti ketika kemuncak kariernya.
Di peringkat kelab, pemain berkenaan pernah mewakili beberapa pasukan tempatan, termasuk Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.
Ia sudah cukup untuk menceritakan bahawa Azmi mempunyai karier yang cemerlang, tetapi kurang diberikan perhatian oleh pihak media.
Selain itu, pemain tersebut juga kurang berpeluang untuk beraksi buat skuad kebangsaan, namun masih diberikan penampilan ketika Harimau Malaya membawa pulang pingat emas dalam Sukan SEA 2009.
Hal-hal itu sudah menunjukkan bahawa Azmi merupakan salah seorang pemain pertahanan yang 'underrated' dalam arena bola sepak tempatan, namun terus diingati peminat bola sepak tanah air.
3. Fadzrul Danel (Tiada kekuatan ketara)
Jika ditanya mengenai bintang-bintang dalam skuad Sang Kenari dekad lalu, nama-nama seperti Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali pastinya disebut ramai.
Namun, di sebalik bintang-bintang bersinar itu, terdapat satu nama yang kurang didendang, namun cukup penting jika ditanya penyokong Hijau Kuning.
Anak jati Sungai Petani, Kedah, Fadzrul Danel Nizam merupakan seorang pemain tengah yang amat konsisten sepanjang kariernya bersama kelab Utara tanah air itu.
Sejak memulakan karier di negeri kelahirannya pada 2018, pemain berkenaan kerap menjadi seorang yang muncul di masa-masa getir buat Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Fadzrul kurang diberikan penghargaan meskipun beraksi cukup konsisten. — MFL
Ini termasuk ketika mereka meraih kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 dengan Fadzrul menjadi penjaring tunggal ketika skuad Sang Kenari menewaskan Perak FA.
Bagaimanapun, sumbangannya itu tidak cukup untuk meletakkannya sebagai seorang pemain yang cukup baik untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Salah satu sebab yang boleh dikaitkan dengan situasinya yang sedikit 'underrated' adalah apabila tiada kelebihan ketara dimiliki pemain berusia 25 tahun itu.
Namun, ia bukanlah satu kayu ukur untuk mengatakan bahawa dia ialah seorang pemain tengah yang tidak cemerlang dengan Fadzrul sering memberikan 100 peratus setiap kali menyarung jersi pasukannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram