
SEJAK tibanya Cristiano Ronaldo di Arab Saudi, saingan domestik Arab Saudi semakin meriah dan nilai prestijnya mula meningkat. Perhatian dunia mula beralih kepada Saudi Pro League untuk melihat legenda Portugal itu beraksi bersama Al-Nassr.
Bukan itu sahaja, liga itu kini dimeriahkan dengan kehadiran ramai pemain handalan dunia seperti Karim Benzema, Sadio Mane dan Roberto Firmino. Ia menjadikan saingan domestik Arab Saudi semakin meriah dan prestij.
Walaupun semakin berusia, tetapi Ronaldo tidak menunjukkan sebarang tanda akan menurun dalam prestasinya. Baru-baru ini, bekas pemain Real Madrid ini menojolkan kehebatnya sebagai penjaring gol terbilang.
Dalam aksi antara Al-Nassr dan Al-Ahli pada Sabtu, Ronaldo mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-4 untuk meletakkan pasukannya di depan.
Apa yang menarik mengenai jaringan itu, Ronaldo yang menghasilkan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol Al-Ahli, Edouard Mendy sewaktu penglihatannya terbatas.
Hal ini kerana, ia disebabkan di depan pintu gol Al-Ahli, terdapat asap hasil pembakaran suar oleh penyokong Al-Nassr yang berada di belakang gawang.
Pembakaran suar itu nyata menganggu penglihatan pemain yang berada di sekitar gol itu. Namun bagi Ronaldo, tiada sebarang masalah untuknya merembat kencang untuk menewaskan Mendy.
Gol Ronaldo itu merupakan pembuka jalan kepada kemenangan Al-Nassr dalam aksi sengit bertemu Al-Ahli. Bintang Portugal itu kemudiannya menjaringkan dua gol sambil Talisca memperoleh jumlah sama untuk dirinya.
Dua gol oleh Ronaldo dan Talisca memberikan kemenangan 4-3 kepada Al-Nassr sambil Franck Kessie, Riyad Mahrez dan Feras Albrikan mencatat nama selaku penjaring untuk Al-Ahli.
Jaringan berganda oleh Ronaldo telah menjadikan pemain itu penjaring terbanyak Saudi Pro League dengan sembilan gol. Jumlah tersebut adalah tiga gol lebih banyak berbanding pencabar terdekat iaitu Malcom (Al-Hilal), Moussa Dembele (Al-Ettifaq), Sadio Mane (Al-Nassr) dan Salem Aldawsari (Al-Hilal) yang mempunyai enam gol setiap seorang.
Dengan kemenangan ini meletakkan Al-Nassr di tangga kelima liga dengan 15 mata daripada tujuh perlawanan. Aksi seterusnya buat mereka adalah menentang Ohod. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram