SELEPAS satu musim yang mengecewakan, Ahli Lembaga Pengarah Penang FC dilihat sedang giat melakukan rombakan untuk mempersiapkan diri bagi tahun akan datang.
Perubahan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan yang kini disandang Gooi Zi Sen sejak Ogos lalu boleh dikatakan sebagai titik permulaan untuk revolusi baharu itu.
Antara langkah awal yang diambil adalah apabila mereka mengumumkan pengarah teknikal kelab, Kamal Kalid serta pengurus, Ong Eng Hua digugurkan daripada jawatan masing-masing.
Meskipun sudah hampir sebulan sejak perubahan tersebut diambil, Ahli Lembaga Pengarah Penang FC masih berdiam diri mengenai pengganti mereka.
Jadi, untuk menjawab persoalan berkenaan, pasukan Utara tanah air terbabit mengumumkan seramai tiga individu sudah menghantar permohonan untuk menjadi pengarah teknikal kelab.

Yee Fatt gagal membawa skuad Harimau Kumbang ke tahap baharu musim ini. — Facebook/Penang FC
Kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat itu bagaimanapun tidak disertakan mengenai latar belakang masing-masing dengan pihak pengurusan kelab masih belum membuat satu keputusan rasmi.
Namun, pada Sabtu, Penang FC sekali lagi mengeluarkan kenyataan baharu yang mengatakan mereka sedang dalam usaha mencari seorang ketua jurulatih baharu.
"Juga melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Penang FC petang tadi (Jumaat), sehingga hari ini Penang FC telah menerima lima permohonan dari individu yang berminat untuk jawatan sebagai Ketua Jurulatih Penang FC bagi musim 2024.
"Keputusan bagi mengisi jawatan ini juga akan dibuat dalam masa terdekat dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi kelab dan juga pasukan," tulisnya.
Ketika ini, jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang disandang Chong Yee Fatt manakala Manzoor Azwira Abd Wahid juga diberikan kepercayaan sebagai jurulatih interim ketika pengendali tetap itu mengalami isu kesihatan.

Seramai lima jurulatih dilaporkan berminat untuk menjadi pengendali skuad Harimau Kumbang musim depan. — Facebook/Penang FC
Namun, kedua-dua mereka masih gagal memberi nafas baharu buat Penang FC apabila mereka kini berada di tangga ke-10 Liga Super selepas 21 perlawanan.
Mereka turut menampilkan prestasi kurang memberangsangkan dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia apabila ditunjukkan jalan keluar di peringkat awal dalam kedua-dua kejohanan.
Tetapi, skuad Harimau Kumbang masih berpeluang menamatkan musim 2023 dengan pencapaian membanggakan dengan mereka kini masih berentap dalam saingan MFL Challenge Cup.
Berdasarkan pemerhatian lalu, beberapa jurulatih dilihat sesuai untuk dipetik sebagai calon untuk menggantikan Yee Fatt pada 2024.
Selain Manzoor, bekas pemain Penang FA, Merzagua Abderrazak serta bekas pengendali skuad Harimau Kumbang, Datuk Zainal Abidin Hassan merupakan antara calon terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
