Jordi Amat kongsi sebab kenapa terpaksa lupakan aksi berdepan The Jang Hobin


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Ketiadaan Jordi Amat membuka peluang buat pertahanan tengah lain untuk beraksi bersama JDT buat masa ini. — Agensi

JOHOR Darul Takzim (JDT) berdepan satu lagi masalah kecederaan apabila bek tengah mereka, Jordi Amat dilaporkan mengalami masalah kecergasan baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di laman Instagram peribadinya pada Jumaat, bek tengah kebangsaan Indonesia itu berkata, dia terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam aksi timbal balik Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu malam.

"Hi semua. Pada esok (Sabtu), dukacita saya ingin katakan bahawa saya tidak akan dapat diturunkan berdepan Negeri Sembilan kerana kecederaan lengan.

"Tetapi, proses penyembuhan berada dalam fasa terbaik dan saya harap untuk sembuh dengan 100 peratus untuk membantu pasukan berdepan PDRM FC. Ayuh JDT!" tulisnya.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 18.23.36

Jordi Amat mengesahkan bahawa dia terpaksa melupakan aksi timbal balik berdepan Negeri Sembilan FC.

Ketika ini, jaguh bola sepak tanah air terbabit kehilangan beberapa pemain akibat isu kecederaan dan kecergasan, termasuk pemain tengah, Leandro Velazquez.

Selain itu, Fernando Forestieri juga difahamkan tidak berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi setelah mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika aksi final Piala FA pada 22 Julai lalu.

Namun, terdapat kemungkinan pemain sayap itu akan diturunkan dalam masa terdekat setelah diberikan penampilan dalam aksi Piala MFL bersama JDT II baru-baru ini.

Musim ini, Jordi Amat diberikan peranan kapten setelah Farizal Marlias, Safiq Rahim serta Aidil Zafuan lebih kerap memanaskan bangku simpanan.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 18.19.32

Leandro merupakan antara pemain JDT yang mengalami isu kecederaan musim ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sumbangannya sememangnya tidak boleh dipandang rendah memandangkan skuad Harimau Selatan kini berada dalam landasan terbaik untuk mencatatkan rekod pertahanan terbaik dalam sejarah Liga Super.

Pemain berusia 31 tahun berkenaan sudah diturunkan dalam 20 perlawanan divisyen teratas bola sepak tempatan dengan hanya terlepas kunjungan berdepan Kelantan FC, Julai lalu.

Kehilangannya dianggap akan membuka peluang buat beberapa bek tengah lain dengan Shane Lowry serta Shahrul Saad dilihat sebagai calon terbaik untuk diturunkan pengendali JDT, Esteban Solari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram