Tanker Sabah ada 2 ciri istimewa untuk digandingkan dengan Jordi Amat di JDT


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Peres (jersi merah) sudah mencetak dua gol untuk Sabah FC di saingan Liga Super. — Facebook/SabahFC

SABAH FC bermula dengan langkah kanan di aksi pembukaan saingan Piala AFC kumpulan H apabila mudah menang 3-1 ke atas wakil Singapura, Hougang United di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis lalu.

Tiga jaringan kemenangan The Rhinos itu dicetak oleh penyerang kebangsaan, Darren Lok dan satu lagi gol disumbangkan menerusi tandukan dari pertahanan kental, Gabriel Peres seawal minit kelima perlawanan.

Selain Darren yang menerima pujian melambung daripada penyokong setelah mencetal dua jaringan gol, Peres juga turut mendapat perhatian apabila mampu menyumbang satu gol walaupun beraksi sebagai bek tengah.

Itu bukanlah kali pertama Peres menyumbangkan jaringan untuk Sabah FC apabila pemain berusia 26 tahun itu juga mencetak dua gol masing-masing ketika aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC di saingan Liga Super.

Bercakap mengenai posisi sebenarnya iaitu sebagai bek tengah, statistik menunjukkan bahawa Peres adalah pertahanan kegemaran Datuk Ong Kim Swee di posisi tersebut dengan bukti dia sudah tampil dalam 20 aksi Liga Super.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.97 meter itu jelas menggunakan keupayaan fizikalnya untuk melakukan cabaran yang kuat dan ancaman dalam 'duel' di udara.

Dengan kelebihan yang mampu menjadi tanker pasukan dan juga bonusnya berkemampuan untuk mencetak gol, Peres semestinya menjadi antara calon idaman penyokong kelab lain.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 18.00.52

Peres diharap akan bergandingan dengan Jordi. — Facebook/JDT

Selepas persembahan mengagumkan yang diberikan Peres dalam 90 minit permainan menentang Hougang itu, sebahagian penyokong Johor Darul Takzim (JDT) memasang impian untuk melihatnya beraksi untuk Harimau Selatan.

Malah, penyokong Harimau Selatan juga melihat pemain dari Brazil itu sesuai untuk digandingkan dengan ketua pasukan, Jordi Amat untuk menjaga bek pertahanan JDT.

"Pengganti Shane Lowry ini. Shane dah tua," kata penyokong JDT, mfaiznaim99.

"Boleh digandingkan dengan Jordi Amat ini, mesti susah nak tembus," tambah penyokong Harimau Selatan, kevinloh.

Melihat kepada angan-angan penyokong JDT itu, adalah tidak mustahil jika barisan kejurulatihan tertarik dengan Peres terutamanya usia pemain tersebut masih muda untuk menjadi aset jangka masa panjang.

Oleh itu, ramai penyokong berharap agar pihak pengurusan Sabah perlu menawarkan kontrak baharu kepadanya sebelum kelab lain 'melamar' tanker berbakat tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram