15 September lalu, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Istaf) mengumumkan sistem pengiraan baharu 15 mata bakal dilaksanakan berkuatkuasa 2 Februari 2024.
Keputusan itu dibuat dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Abdul Halim Kader berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat Kejohanan Sepak Takraw Dunia Ke-36 Julai lalu.
“Istaf memutuskan dan meluluskan penggunaan sistem pengiraan baharu yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 2 Februari untuk semua kejohanan sepak takraw.
“Ini bagi memberi masa yang cukup kepada pemain dan pasukan untuk menyesuaikan diri dan menerima pakai sistem baharu itu untuk kekal berdaya saing di semua peringkat pertandingan,” katanya.
Antara alasan yang diberikan untuk menggantikan sistem pengiraan 21 mata ketika ini adalah bagi menjimatkan masa dalam setiap set permainan.
Bagaimanapun, jelas Abdul Halim, sistem servis tiga kali bergilir-gilir akan dikekalkan dan mata boleh bertambah tanpa memegang servis.
Halim Kader mengumumkan perubahan itu selepas satu sesi mesyuarat Istaf diadakan.
Namun, perubahan berkenaan seperti tidak menerima respons baik daripada pelbagai pihak dengan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan antara yang memberi pandangan.
Dalam satu penjelasan kepada agensi media tempatan, dia mempersoalkan apakah rasionalnya keputusan Istaf itu dengan berharap pandangan PSM dapat didengari.
Selain itu, beberapa penggiat aktif dalam sukan berkenaan turut berkongsi pendirian masing-masing meskipun keputusan untuk melaksanakannya masih belum diputuskan.
Pengurus Johor Tigris, Hasif Halim berkata, perubahan itu akan menjadikan tempoh permainan setiap set menjadi lebih pendek berbanding ketika ini.
"Pada saya, setiap pasukan terutamanya pasukan negara atau Johor Tigris sendiri tentunya perlu menguatkan bahagian serangan kerana pada peringkat awal, kita perlu menjarakkan mata dengan pihak lawan.
"Dari segi kecergasan, saya lihat ini tidak menjadi satu isu. Tetapi, apa sekalipun, pemain itu sendiri perlu cepat menyesuaikan diri dalam gelanggang," katanya kepada Majoriti.
Sumali Reduan turut berkongsi pandangan mengenai perubahan berkenaan. — Bernama
Dalam Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23, Johor Tigris berjaya menamatkan saingan di tangga keempat selain mara ke separuh akhir STL Champions Cup.
Tambahnya lagi, perubahan itu turut dikhuatiri akan kurang diterima baik penyokong sukan berkenaan kerana ia akan mengurangkan keterujaan ketika permainan.
"Pada saya sendiri, pengiraan 21 mata adalah yang terbaik kerana satu tempoh yang panjang dan permulaan untuk setiap set itu adalah perlahan.
"Semestinya penyokong juga mahu satu pertarungan yang lama kerana mereka datang dari jauh. Sebelum ini ada 21 mata, kita rasa itu tempoh yang panjang, tapi kalau dah 15 mata ni, pada saya ia agak pendek," katanya.
Bagaimanapun, Hasif berkata, keputusan berkenaan perlu diterima kerana ia adalah perubahan di peringkat antarabangsa dan mereka perlu segera menyesuaikan diri.
Sementara itu, pengurus Penang Black Panthers, Shaherman Shafie, perubahan itu akan memendekkan tempoh permainan dan aksi akan menjadi lebih pantas.
Penang Black Panthers muncul juara dalam STL Challenge Cup 2023.
"Di sini kita boleh lihat permainan akan memerlukan servis dan tekong lebih baik serta kawalan gelanggang lebih mantap daripada pemain.
"Mereka juga perlu lebih peka setiap masa kerana ia adalah permainan yang pantas. Jadi, tiada lagi istilah untuk mengambil masa kerana kita perlu mendapatkan setiap mata itu," katanya juga kepada Majoriti.
Penang Black Panthers menamatkan saingan STL yang lalu di tangga ketiga, namun menamatkan musim dengan pencapaian cemerlang apabila menjuarai STL Challenge Cup.
Namun, dalam saingan STL Champions Cup pula, pasukan Utara tanah air terbabit hanya mara ke separuh akhir setelah disingkirkan Perak Bison.
Tambah Shaherman, perkara itu akan menjadi sesuatu yang baharu buat peminat sepak takraw negara dengan ia turut dikhuatiri akan memberi kesan kurang senang.
"Sebelum ini, kita pernah guna peraturan servis 15 dengan pendekatan servis yang lain. Jadi, untuk kita katakan perubahan tersebut menarik, kita pun tak boleh nak katakan lagi. Ini kerana terdapat kemungkinan mereka kurang puas untuk menikmatinya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram