Tonggak Perak Bison, KL Thunder antara 15 pemain ke Program Sukan Asia 2022


  • Podium
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Kesemua 15 pemain yang tersenarai ke Program Sukan Asia 2022 akan melaporkan diri di MSN Bukit Jalil pada 13 September ini. — Bernama

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyenaraikan 15 daripada 25 pemain ke Program Sukan Asia 2022 sebagai persediaan mengharungi temasya dwitahunan itu di Hangzhou, China pada September ini.

Timbalan Presidennya, Abdul Halim Suleiman berkata, pemilihan pemain tersebut dinilai barisan kejurulatihan sepak takraw kebangsaan berdasarkan prestasi semasa di Sukan SEA 2023, Liga Sepak Takraw (STL) 2022/23 dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai 2023.

"Kesemua pemain ini pada masa sama akan bertolak ke Ratchaburi, Thailand untuk berlatih di sana selain turut serta dalam Kejohanan Piala Pattaya sebagai persiapan itu,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Antara nama besar yang tersenarai ialah trio dinamik Kuala Lumpur Thunder, iaitu Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam).

Perak Bison, yang menjuarai Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) turut memiliki tiga orang wakil, iaitu Meor Zulfikar Mat Amin, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi.

Kesemua 15 pemain dalam senarai itu akan melaporkan diri di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil pada 13 September ini sebagai persediaan sebelum acara sepak takraw membuka tirai di Hangzhou pada 24 September depan.

15 pemain dipilih menyertai Program Sukan Asia 2022 ialah tekong (Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammd Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, Muhammad Hairul Hazizi Haidzir); apit kanan (Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Mohamad Azlan Alias) dan apit kiri (Amirul Zazwan Amir, Mohd Muqlis Borhan, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Zaim Razali dan Farhan Adam). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram