PERAK Bison menempuh jalan berliku sebelum berjaya mengesahkan pasukan ke pusingan separuh akhir saingan Champions Cup bagi Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23.
Sebelum melakar kejayaan 2-1 ke atas Johor Tigris pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan mencatat kemenangan mudah 2-0 menentang ATM Guardians, regu Bison tersungkur 0-2 di tangan pasukan divisyen kedua, Terengganu Turtles pada aksi pertama Champions Cup.
Berkongsi kepada Majoriti, Pengurus Perak Bison, Syamsul Istar Ibrahim Istar berkata, kekalahan di tangan regu berpangkalan di Pantai Timur itu memberi tamparan hebat kepada Bison untuk meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya.
Buktinya, pada persembahan yang diberikan regu dari Utara tanah air itu semasa pada aksi akhir menentang Tigris diibaratkan seperti perlawanan final.
Bison menang 2-1 ke atas Tigris. — Facebook/STL
"Semasa lawan Johor Tigris memang macam perlawanan hidup mati. Lepas kami dah tewas di tangan Terengganu pada game pertama, kami terapkan dalam diri setiap pemain untuk anggap semua perlawanan adalah seperti final.
"Ketika berdepan dengan regu Johor yang kuat apa lagi dengan sokongan crowd tempatan, ia memang satu laluan sukar. Sebab itu kami semua all out," katanya kepada Majoriti ketika mengimbau kembali aksi di Studio Iskandar Malaysia Johor pada Rabu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Penang Black Panthers untuk aksi semi final pada Jumaat ini, Syamsul Istar berharap agar anak-anak buahnya tidak mengulang kesilapan sama seperti aksi akhir Challenge Cup.
Menurutnya, faktor keletihan dan jadual padat menyebabkan regu Perak Bison tidak berjaya membawa pulang Piala Challenge Cup dan menyaksikan pasukan Penang menang 2-1 ke atas pasukan tersebut.
Antara aksi Bison menentang Penang sebelum ini. — Facebook/STL
"Untuk jumpa Penang memang perlu sediakan pemain dari segi mental dan fizikal. Macam hari itu jumpa Penang, dari segi mental sedia cuma tak cukup rehat masa final Challenge Cup. Sebab sebelum tu lawan tiga set dengan Kuala Lumpurs Thunders. Rehat pun tak sampai dua jam.
"Kali ini kami akan cuba sediakan pasukan untuk lawan Penang. Harapnya dengan rehat sehari ini mampu beri rehat yang cukup untuk pemain cukup rehat dan ada motivasi lebih kalahkan Penang," tambahnya.
Aksi separuh akhir akan menyaksikan Penang Black Panthers akan bertemu Perak Bison, manakala Tigris pula akan menghadapi Negeri Sembilan Antlers di venue sama pada Jumaat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram