[VIDEO] Berjaya selamatkan maruah Lazio, Ivan Provedel jadi 'goalkeeper' kedua UCL jaring gol bukan penalti


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Provedel menjadi wira apabila menjaringkan gol buat Lazio pada minit akhir perlawanan. — Facebook/Lazio

PENJAGA gol, Ivan Provedel menjadi wira buat kelab Itali, Lazio selepas menjaringkan gol pada minit ke-95 sekali gus berjaya mengikat Atletico Madrid di halaman sendiri dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu.

Pemain berketinggian 1.94 meter itu memberanikan diri naik meninggalkan gawang gol Lazio untuk terlibat dalam sepakan penjuru pasukan itu di minit-minit akhir perlawanan.

Provedel yang tidak diawasi oleh pemain-pemain pertahanan Atletico mengambil peluang lari ke dalam kotak penalti selepas melihat Luis Alberto ingin melakukan satu hantaran.

Tekaan pemain berusia 29 tahun itu tepat, selepas dia berjaya menanduk bola masuk ke dalam gawang gol yang dijaga oleh Jan Oblak sekali gus memeriahkan suasana Stadium Olimpico Tour, Itali.

Selepas Provedel menanduk bola masuk, rakan sepasukan yang lain turut meraikan jaringannya itu selepas menghadiahkan satu mata buat Lazio.

Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Menerusi laporan ESPN, jaringan daripada Provedel itu menjadikannya penjaga gol kedua dalam saingan UCL untuk meledak gol bukan hasil daripada penalti.

Sebelum itu 13 tahun lalu, penjaga gol Nigeria, Vincent Enyeama melakukan perkara seperti itu semasa mewakili Hapoel Tel Aviv.

Keputusan seri itu menyebabkan Atletico dan Lazio berkongsi mata dalam Kumpulan E manakala Feyenoord berada di tempat pertama selepas menewaskan Celtic dengan keputusan 2-0 di halaman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram