
MINGGU pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dikejutkan dengan pelbagai keputusan perlawanan, ada yang menangis melihat pasukan kegemaran kalah tipis angkara kesilapan penjaga gol dan terdapat juga jaringan dramatik dilakarkan sebelum wisel penamat berbunyi.
Dari 16 perlawanan berlangsung sejak Rabu lalu, aksi antara wakil Sepanyol, Atletico Madrid menentang kelab Itali, Lazio mencuri lebih perhatian selepas penjaga gol pasukan tuan rumah hadir menyelamatkan maruah.
Penjaga gol Lazio, Ivan Provedel muncul wira apabila meledak gol penyamaan ketika membantu Lazio mengikat Atletico Madrid 1-1 dalam saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.
Pemain berketinggian 1.94 meter itu memberanikan diri naik ke kawasan Atletico meninggalkan gawang gol Lazio untuk terlibat dalam sepakan penjuru pasukan itu di minit-minit akhir perlawanan.
Provedel yang tidak diawasi oleh pemain-pemain pertahanan Atletico mengambil peluang lari ke dalam kotak penalti selepas melihat tonggak tengah, Luis Alberto ingin melakukan satu hantaran.
Provedel menjadi wira apabila menjaringkan gol buat Lazio pada minit akhir perlawanan. — Facebook/Lazio
Tekaan pemain berusia 29 tahun itu tepat, selepas dia berjaya menanduk bola masuk ke dalam gawang gol yang dijaga oleh Jan Oblak sekali gus memeriahkan suasana Stadium Olimpico Tour, Itali.
Gol dramatik dari Provedel itu menjadikan dia penjaga gol kedua yang mencetak jaringan selepas Sinan Bolat muncul pemain pertama apabila dia menanduk masuk gol lewat permainan menentang AZ Alkmaar di peringkat kumpulan pada Disember 2021.
Selepas ramai peminat bola sepak berbicara mengenai jaringan tersebut, seorang penyokong Selangor FC turut tidak ketinggalan menyebut nama legenda penjaga gol Gergasi Merah yang dianggap mempunyai sejarah tersendiri.
Menurut pengalaman dari pengguna akaun Twitter, Romy Jarr, bekas penjaga gol import Selangor pada 1989 hingga 1991, Karel Stromsik pernah meledak dua jaringan gol dalam satu perlawanan Gergasi Merah.
"Dengar cerita goalie Lazio semalam dapat score goal dlm UEFA Champions League. Tiada apa sangat lah itu. Pernah lihat dengan mata sendiri penjaga gol Selangor score dua biji dan almost hatrik dalam single match. Kalau tak, confirm masuk Guinness Book of World Record masa tu. Namanya Karel Stromsik," tulisnya.
Stromsik diberi kepercayaan menjaga gawang Selangor ketika separuh akhir Piala Malaysia Gergasi Merah menang 4-0 menentang Pahang.
Begitupun, info daripada Selangor FC mengatakan pemain kelahiran Republic Czech itu meledak tiga jaringan gol melalui sepakan penalti dan dia menjadi satu-satunya penjaga gawang yang pernah menjaringkan gol untuk Gergasi Merah sejak tahun 1921.
Antara yang diingati ketika Stromsik menjaringkan gol pada masa tambahan Charity Cup 1990 menerusi sepakan penalti sebelum pemain Kuala Lumpur, K. Kannan menyamakan kedudukan untuk seri 1-1.
Keputusan seri itu akhirnya menyaksikan perlawanan dibawa kepada sepakan penalti dan menyaksikan Selangor menang 3-0 apabila Stromsik menyelamatkan dua kali dalam penentuan berkenaan.
Stromsik menabur bakti bersama Selangor selama tiga musim. — Agensi
Hadir dengan reputasi sebagai pemain kebangsaan dan pernah membuat penampilan di Piala Dunia 1982 bersama Republic Czech, Stromsik selayaknya dilabel sebagai penjaga gol terbaik Selangor selepas R. Arumugam dan Rashid Hassan.
Stromsik yang tiba pada 1989 hanya sempat menabur bakti selama tiga tahun bersama kelab berpangkalan di Lembah Klang itu, sebelum akhirnya kembali ke Malaysia sebagai penasihat teknikal dan jurulatih beberapa pasukan seperti PKNS FC (2016-2018), Felda United dan Public Bank (2003-2004). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram