SEORANG lelaki menemui ajalnya ketika melakukan senaman angkat berat di sebuah gimnasium dekat Wuhan, China pada Jumaat lalu.
Zhang, 25, yang merupakan jurulatih di pusat senaman itu maut akibat kecuaiannya ketika mengangkat barbel seberat 100 kilogram ketika kejadian.
Tidak diawasi oleh sesiapa, Zhang yang kelihatan dalam posisi berbaring terlebih dahulu dilihat cuba mengangkat barbel berkenaan.
Gagal untuk menampung berat besi tersebut, mangsa kemudiannya hilang imbangan yang sekali gus menyebabkan lehernya dihempap barbel berkenaan.
Meskipun cuba untuk melepaskan diri, mangsa gagal untuk mengangkat barbel berkenaan dan disahkan mati sekitar pukul 4.30 petang.
Seorang pelatih di gimnasium berkenaan mendedahkan Zhang sengaja memilih untuk melakukan senaman secara bersendirian.
Pengurus pusat senaman itu berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk Zhang mengangkat berat melebihi 100 kilogram.
"Setiap orang mempunyai had fizikal masing-masing, tetapi dia terlampau meletakkan sasaran tinggi dan menyebabkan berlakunya insiden malang seperti ini," katanya.
Dalam pada itu, empat pelatih lain dilaporkan turut berada di lokasi kejadian namun tiada seorang daripada mereka yang memerhatikan mangsa kerana menganggap dia sudah cukup berpengalaman dalam aktiviti tersebut.
Pengurus gimnasium terbabit walau bagaimanapun difahamkan akan bertanggungjawab atas kematian tersebut dan komited untuk memberikan pampasan terhadap keluarga si mati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram