
SABAH FC akan berdepan cabaran berbeza dan pastinya satu tugas sukar apabila dijadualkan akan menentang wakil Singapura, Hougang United dalam kejohanan Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis ini.
Walaupun The Rhinos mempunyai jadual padat dengan kejohanan domestik namun saingan Piala AFC ini membawa keterujaan buat penyokong kerana kali terakhir Sabah beraksi di pentas Asia ialah pada tahun 1995 yang ketika itu dikenali sebagai Asian Cup Winners’ Cup.
Akhirnya peluang untuk ke Asia menjadi kenyataan dan pemenang Piala Singapura pada musim lalu itu menjadi ujian pertama untuk The Rhinos menguji kemampuan sebenar di peringkat benua berkenaan.
Seperti kelab lain, dengan melihat perlawanan Sabah FC sebelum ini pasti pasukan Hougang juga sudah membuat kajian mengenai taktikal yang akan cuba ditampilkan oleh skuad Sang Badak pada aksi pembukaan itu.
Walaupun ada penyokong sudah mulai resah jika skuad pelawat itu akan mudah membaca taktikal Datuk Ong Kim Swee namun ia bukan jaminan kelab Singapura tersebut mampu menewaskan Sabah.
Kali ini, Majoriti akan menyenaraikan tiga taktikal Kim Swee ataupun OKS yang mungkin sudah dibaca Hougang namun tetap menyulitkan pasukan pelawat itu;
1) Peranan bek sayap
Kwang-min sudah membuat dua hantaran bantuan untuk The Rhinos. — Facebook/SabahFC
Salah satu taktikal yang digunakan oleh bekas pemain kebangsaan itu ialah menggunakan kemampuan bek sayap untuk turun ke bahagian depan bagi membantu melancarkan serangan ke arah gawang pasukan lawan.
Antara bek sayap The Rhinos yang sering diturunkan oleh bekas pengendali Harimau Malaya itu adalah Daniel Ting; pemain import dari Korea Selatan, Ko Kwang-min dan pertahanan berpengalaman tanah air Rizal Ghazali.
Data menerusi beberapa perlawanan menunjukkan bahawa ketiga-tiga bek sayap kental Sang Badak itu menyumbang lima jaringan gol dan lapan hantaran bantuan untuk diberi kepada penyerang Sabah FC.
Walaupun skuad The Cheetahs itu sudah mempelajari mengenai bantuan dari bek sayap itu namun gabungan pemain seperti Rizal dan Daniel dipercayai mampu menyekat pergerakan pemain sayap Hougang seperti Kristijan Krajcek serta Gabriel Quak untuk menembusi pertahanan Sabah.
2) Peranan berbeza midfielder
Tae-su banyak digunakan sebagai bek tengah Sabah FC. — Facebook/SabahFC
Salah satu fakta menarik mengenai Sabah FC pada musim ini apabila memiliki barisan tonggak tengah yang mampu beraksi di pelbagai posisi dan perkara itu dilihat membawa kelebihan untuk Kim Swee memilih barisan pemain.
Jika dilihat dalam 22 aksi Liga Super The Rhinos, tonggak tengah seperti ketua pasukan Park Tae-su antara contoh sesuai pemain yang bukan hanya membawa kualiti sebagai tengah bertahan, malah turut bermain sebagai bek tengah dalam sembilan perlawanan.
Malah, playmaker The Rhinos iaitu pemain import dari Portugal, Telmo Castanheira dan tonggak tengah kebangsaan, Stuart Wilkin juga pernah diberi tanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai penyerang sayap kiri.
Sama ada pengendali berusia 52 tahun itu akan kekal menggunakan setiap pemain itu dengan peranan asal mereka ataupun sebaliknya, ia sebenarnya bakal menjadi bahan kejutan yang perlu diawasi Hougang.
3) Minit permainan
Dominic antara pemain yang sering beraksi 90 minit permainan untuk Sabah FC. — Facebook/SabahFC
Cara permainan lain yang diterapkan Kim Swee dalam Sabah FC ialah meminimumkan pertukaran pemain dan seterusnya banyak menggunakan tonggak sama sehingga wisel penamat dibunyikan.
Jika dilihat rata-rata pemain Sabah FC seperti bek tengah, Dominic Tan; pertahanan dari Brazil, Gabriel Peres, Tae-su dan penyerang Sabah FC iaitu Ramon Machado serta Darren Lok banyak bermain dalam 90 minit permainan
Perkara itu turut menunjukkan bahawa tonggak utama Sabah FC mempunyai stamina yang banyak, selain diyakini mampu untuk beraksi dalam perlawanan penuh terutamanya ketika aksi penting seperti kejohanan Piala AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram