BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo disambut dengan kemeriahan luar biasa di Iran apabila ratusan peminat negara Timur Tengah itu mengejar bas pasukan Al-Nassr sebelum menyerbu hotel pasukan untuk melihat penyerang prolifik tersebut.
Kelab Arab Saudi itu akan menentang Persepolis dari Tehran, Iran dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Selasa dan pasukan yang dianggotai Ronaldo itu mendapat sambutan yang luar biasa.
Video yang dikeluarkan pada laman media sosial X, Al-Nassr menunjukkan peminat berlari di sepanjang jalan untuk mengejar bas pasukan dari tanah Arab itu sambil memegang poster Ronaldo dan memakai jersi superstar Portugal itu.
Video lain di media sosial menunjukkan ratusan peminat tempatan juga menyerbu masuk ke lobi hotel tempat Al-Nassr menginap sambil melaungkan nama pemain yang dikenali sebagai Abang Do dalam kalangan peminat Malaysia itu.
Lebih parah lagi apabila terdapat beberapa pegawai polis juga ditolak gara-gara ingin melihat lebih dekat dengan pemain bola itu.
Dalam pada itu, pemain berusia 38 tahun itu juga dihadiahkan permaidani tradisional Parsi sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Imam Khomeini Tehran dan Ronaldo juga kelihatan gembira dengan hadiah itu.
Satu lagi hadiah untuk skuad Al-Nassr ialah dalam kad SIM khas yang membolehkan mereka mengakses Internet tanpa had sepanjang penginapan mereka.
Kad SIM adalah sesuatu yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh warga Iran kerana beribu-ribu laman web dan semua perkhidmatan pemesejan global serta media sosial disekat oleh kerajaan.
Aksi di Stadium Aazdi yang berkapasiti 78,000 penonton itu juga tidak dapat dinikmati peminat tempatan kerana ia dilangsungkan secara tertutup susulan hukuman satu perlawanan ke atas Persepolis.
Persepolis dihukum bermain tanpa penonton untuk satu perlawanan selepas memuat naik hantaran di media sosial menjelang pertemuan dengan kelab India, FC Goa pada musim 2021-2022.
Selepas kunjungan ke Tehran, perlawanan timbal balik akan dimainkan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh pada 27 November. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram