Dah juara dunia, saya layak terima layanan terbaik — Azizulhasni


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Mohd Azizulhasni meraih gelaran berganda menerusi acara pecut Rabu lepas dan keirin pada Ahad. — Facebook/MSN

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menganggap beliau layak menerima sokongan istimewa dalam mengejar impian emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut pelumba berusia 35 tahun itu, beliau sudah lama membuktikan kebolehannya dengan muncul juara dunia keirin 2017, selain meraih gangsa Olimpik Rio 2016 dan perak Tokyo 2020 untuk menjadi antara pencabar utama pingat pada temasya kali ini yang dijadualkan pada 26 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

"Saya dah juara dunia, itu dah cukup untuk menunjukkan kepada semua bahawa saya layak menerima layanan terbaik...Untuk beraksi di Olimpik dan menang pingat dua kali bukan mudah. Kemudian saya kembali selepas menjalani pembedahan jantung terbuka dan menang dua emas peringkat Asia.

"Berbasikal berbeza daripada sukan-sukan lain, didominasi pelumba Eropah, lawan yang lebih besar. Sepatutnya kita berbangga, gembira dengan rakyat Malaysia. Saya yang saiz kecil ini boleh dominasi pada tahap dunia yang turut memberikan inspirasi kepada atlet pelapis dan golongan muda.

"Kalau ada orang masih menidakkan kebolehan dan keupayaan saya, tak tahu nak cakap apa. Kalau betul saya tak layak, saya faham, tapi laluan untuk ke Olimpik, setahun lebih sikit lagi. Ini adalah Olimpik terakhir saya, berikan saya sokongan yang baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Velodrom Nasional.

Lebih seminggu lepas, Mohd Azizulhasni menerusi media sosialnya, melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional sejak awal tahun ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai baru-baru ini dan tidak menyalahkan keseluruhan MSN, tetapi hanya ‘setitik nila’ yang mencemarkan keseluruhan imej organisasi itu.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang masih lagi berlangsung, Mohd Azizulhasni sekali lagi membuktikan kebolehannya selepas berjaya meraih gelaran berganda menerusi acara pecut Rabu lepas dan keirin pada Ahad, sekali gus mencipta legasi sendiri dengan 12 pingat emas ACC secara keseluruhan.

AZIZUL 2

Mohd Azizulhasni (kiri) ketika acara pecut elit lelaki di ACC 2023. — Facebook/SuciVision

The Pocket Rocketman berkata, setahun lepas, beliau tidak pernah terbayang mampu kembali menguasai pentas Asia pada ACC 2023 dan sehingga kini, beliau masih terasa seakan berada dalam mimpi.

Pada waktu itu, menurutnya, beliau hanya dapat menyaksikan rakan sepasukannya beraksi di ACC 2022 di New Delhi, India kerana sedang pulih daripada pembedahan jantung terbuka bagi kondisi jantung jarang jumpa di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April, 2022.

"Masa itu saya berada pada tahap paling rendah bukan sahaja dalam kerjaya tapi juga dalam kehidupan. Saya masih lagi dalam proses nak dapatkan kekuatan, tak mampu nak berkayuh, hanya mampu berjalan. Tapi apabila melihat kembali setahun yang lepas, sekarang saya bersyukur kepada Allah SWT, saya rasa semua kekuatan itu datang daripada-Nya, saya hanya buat apa yang perlu.

"Ini adalah ACC terbaik saya, mungkin ia juga adalah ACC terakhir saya dan memenangi dua emas, apa lagi hendak dikatakan? Saya cuma mahu menikmati detik ini,” katanya.

Beliau berkata, edisi kali ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya di ACC, kerana beliau tidak mahu menyertai saingan 2024 yang dijadualkan pada Februari tahun depan di New Delhi bagi mengelakkan risiko menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram