Jurulatih baharu B-23: Calon import atau lokal masih teka-teki


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

FAM kini giat mencari pengganti kepada E. Elavarasan yang melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad B-23 Malaysia. — Facebook/FAM

PENCARIAN untuk mendapatkan pengendali baharu untuk skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia sedang hangat diadakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tidak lama lagi, FAM dijangka akan mengumumkan nama baharu menggantikan E. Elavarasan yang melepaskan jawatannya selepas berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia B-23 di Qatar.

Namun begitu, khabar angin kuat mengatakan seorang nama tempatan akan disambar oleh FAM dalam misi menguatkan skuad Harimau Muda ini.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, seorang pengendali tempatan dari kelab Liga Super akan 'dipinjamkan' untuk membantu jurulatih asing yang mengetuai skuad B-23 Malaysia.

"Seorang jurulatih muda tempatan akan dipinjamkan jika capai persetujuan. Namun difahamkan, pilihan utama ialah jurulatih import untuk misi penting tahun depan," tulis Zulhelmi di laman X (Twitter) miliknya.

Majoriti difahamkan tiga nama sedang dipertimbangkan oleh FAM dengan pengendali tersebut adalah daripada kelab Lembah Klang dan Pantai Timur.

Sementara bagi pengendali asing tersebut, individu tersebut difahamkan adalah sebahagian daripada barisan kejurulatihan Kim Pan-gon ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram