PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) akan menempuh satu tugas sukar apabila dijadualkan menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam perlawanan pembukaan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) untuk musim ini pada Selasa.
Harimau Selatan sudah berdepan dengan naib juara Liga Jepun musim 2022 itu sebanyak dua kali dalam Liga Juara-Juara tahun lepas tetapi tidak dapat menewaskan mereka kerana terikat seri tanpa jaringan (21 April 2022) dan tewas 0-5 (24 April 2022).
Walaupun JDT beraksi di hadapan penyokong sendiri namun tidak boleh dinafikan bahawa skuad kendalian Esteban Solari itu jangan memandang mudah Kawasaki Frontale yang mempunyai kekuatan tersendiri.
Oleh itu, pertembungan pembukaan berkenaan pasti akan menjadi satu tumpuan buat penyokong Harimau Selatan dan rata-rata mereka pasti menunggu apa kejutan yang bakal diberikan kepada juara Piala FA musim 2023 itu pada Selasa ini.
Melihat kepada prestasi semasa pasukan itu, Majoriti kali ini menyenaraikan tiga kejutan yang JDT perlu diawasi JDT bagi mengelak mimpi ngeri ditewaskan Kawasaki berulang lagi:
1) Pengalaman pemain pernah beraksi Piala Dunia
Yamane dipanggil untuk mewakili Jepun ketika Piala Dunia yang lalu. — Instagram/Yamane
Fakta menarik mengenai skuad Kawasaki Frontale yang akan berdepan dengan juara bertahan Liga Super itu adalah dua daripada pemainnya pernah mewakili negara mereka ke saingan tertinggi bola sepak iaitu Piala Dunia.
Pemain tersebut ialah penjaga gol dari Korea Selatan, Jung Sung-ryong yang mana mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan negara untuk menjaga gawang pada saingan Piala Dunia musim 2010 dan 2014.
Mula menjaga gawang Kawasaki sejak musim 2016, namun peranan pemain berusia 38 tahun itu sebagai penjaga gol utama masih sukar digugat apabila masih tampil dalam 15 perlawanan dan merekodkan tiga clean sheet untuk skuad itu bagi saingan Liga J musim ini.
Sementara itu, bek kanan mereka, Miki Yamane pula dipanggil untuk mewakili negaranya ketika Piala Dunia yang lalu dengan dia diturunkan sebanyak sekali selepas mempamerkan persembahan cemerlang untuk skuad Azzurro Nero itu.
Musim ini, pemain berusia 29 tahun itu sudah diturunkan sebanyak 25 kali dalam saingan Liga Jepun, termasuk tujuh penampilan lagi dalam saingan Piala Liga Jepun dan Emperor's Cup.
Jadi, dengan kualiti kelas dunia yang ada pada kedua-dua pemain pasti mereka dijangka akan diturunkan untuk aksi ACL menentang JDT untuk memastikan tiga mata dapat diraih Kawasaki Frontale.
2) Enam kali buntu cari kemenangan jadi motivasi untuk raih tiga mata di SSI
Marcinho mencetak jaringan tunggal dalam aksi kemenangan menewaskan FC Tokyo. — Instagram/Kawasaki
Sebelum perhitungan menentang Harimau Selatan bermula, jaguh Jepun itu baru berhasil memecahkan kebuntuan selepas gagal merekodkan kemenangan dalam enam perlawanan bagi semua pertandingan.
Kemenangan pertama selepas enam aksi buruk itu direkodkan dalam saingan Liga J pada 15 September lalu dengan menewaskan FC Tokyo 1-0 menerusi jaringan tunggal dari penyerang sayap kiri dari Brazil, Marcinho.
Dengan prestasi yang dilihat bergelut untuk mendapatkan kemenangan dalam saingan liga itu, ramai penyokong Harimau Selatan menganggap akan mudah untuk pasukan kesayangan mereka mengambil kesampatan untuk membalas dendam.
Namun, hakikatnya bola sepak sentiasa mempunyai kejutan dan disebabkan itu Harimau Selatan perlu kekal fokus kerana Kawasaki boleh sahaja menjadikan prestasi buruk itu sebagai motivasi untuk raih tiga mata di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Dengan pengalaman musim lalu dan pemerhatian aksi JDT sepanjang tahun ini, pasti skuad Azzurro Nero itu sudah menyusun strategi untuk mendapatkan kemenangan dan mengambalikan kepercayaan penyokong kepada mereka.
3) Dapatkan gol awal di babak pertama
Aksi JDT menentang Kawasaki pada musim lepas. — Facebook/JDT
Jika dilihat pada corak perlawanan Kawasaki semasa menang 5-0 ke atas JDT, mereka menjaringkan tiga gol awal pada babak pertama yang mana jelas menunjukkan intensiti permainan wakil dari Jepun itu.
Disebabkan itu, ramai penyokong berharap JDT tidak leka pada babak pertama kerana Kawasaki dijangka akan cuba buat serangan bertalu-talu pada awal permainan.
Asakan demi asakan yang akan dibuat tentera jentera serangan Kawasaki itu secara tidak langsung akan menguji kemampuan sebenar pertahanan JDT di bawah ketua pasukan, Jordi Amat.
Ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Iniki sendiri mengakui bahawa pasukannya perlu menjaringkan gol terlebih dahulu untuk memastikan dalam perlawanan kedua kami dapat mengawal seluruh pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram