SEORANG penyokong cilik yang dikenali sebagai Muhammad Khalil Zarif menjadi tular sekali lagi di media sosial apabila sebuah video pendek memaparkan dia yang cukup bersemangat memberi sorakan buat pasukan kesayangannya itu.
Menariknya video tersebut apabila peminat cilik itu berkelakuan demikian ketika menonton perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 antara skuad Sabah FC dan The Bos Gaurus (TBG) menerusi kaca televisyen di rumahnya sendiri.
Dalam video tersebut turut memaparkan Muhammad Khalil Zarif atau juga lebih dikenali sebagai Momad memakai mafla pasukan Utara tanah air berkenaan di samping menggunakan senduk kayu serta kotak kosong sebagai dram seolah-olah berada di stadium.
Semangat yang ditunjukkan oleh peminat cilik itu membuahkan hasil apabila pasukan tuan rumah terpaksa berpuas hati selepas terikat seri 2-2 dengan skuad pelawat dalam aksi pada Jumaat.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila Momad turut bersemangat memberi sorakan buat pasukan TBG ketika berdepan Kedah Darul Aman FC dalam aksi pembukaan Piala Malaysia.
Dalam pada itu, dia yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sg Rokam, Ipoh, Perak diberi kejutan tersendiri apabila berpeluang bertemu dua tonggak utama skuad TBG, Wan Zack Haikal Wan Noor serta Luciano Guaycochea.
Lebih menarik lagi, dia turut diberikan jersi skuad TBG dengan nama Guaycochea terpampang di bahagian belakang yang mana pastinya cukup istimewa buat penyokong cilik tersebut.
Perak FC akan menerima kunjungan Sang Badak dalam aksi timbal balik pada 25 September nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram