[VIDEO] '100 tahun ke mano, CEO out' luahan ultras skuad Jang lepas tewas di tangan JDT


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Tangkap layar ultras skuad Jang yang dikenali sebagai Ultras Nogori 9 menyanyikan chant khusus untuk CEO.

NEGERI Sembilan akan berdepan tugas sukar untuk perlawanan pusingan kedua suku akhir di Stadium Sułtan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 23 September nanti apabila tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) 0-3 pada Khamis.

Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban itu menyaksikan gawang yang dijaga oleh Muhammad Firdaus Irman Mohd. Fadhil sudah dibolosi pada minit ke-19 menerusi Arif Aiman Mohd Hanapi.

Dua lagi jaringan pula diperolehi daripada penyerang prolifik Harimau Selatan, Bergson Da Silva dengan satu daripadanya melalui sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh ketua pasukan tuan rumah, Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-28.

Oleh itu, ramai penyokong sudah mula meramal bahawa kemenangan tiga jaringan itu akan memudahkan tugas skuad kendalian Esteban Solari itu untuk menempah tiket ke separuh akhir dalam aksi suku akhir kedua nanti.

Kekalahan di laman sendiri itu untuk saingan Piala Malaysia itu pastinya menambah duka untuk penyokong skuad Jang dengan kini prestasi Liga Super pasukan kendalian K.Devan itu berada pada tahap yang tidak memuaskan musim ini.

Musim ini, pasukan yang menghabiskan kempen Liga Super 2022 itu dengan menghuni kedudukan keempat itu hanya mampu memperoleh empat kemenangan, sembilan seri dan merekodkan sebanyak lapan kekalahan.

Selain Piala Malaysia dan saingan Liga Super, penyokong skuad Jang juga sebelum ini turut dikecewakan dengan prestasi Piala FA apabila perjuangan tersebut ternokhta sehingga ke pusingan suku akhir sahaja selepas tewas 1-3 di tangan Selangor FC.

Kekecewaan demi kekecewaan itu akhirnya dizahirkan oleh penyokong apabila pemain ke-12 Negeri Sembilan ramai-ramai menyanyikan chant ‘100 tahun ke mano’ dan ia seakan-akan ditujukan khas buat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab berkenaan, Satwant Singh.

Tidak ingin meletakkan kesalahan di bahu K.Devan namun penyokong sebaliknya mendakwa bahawa CEO Negeri Sembilan yang patut berundur bagi bertanggungjawab terhadap masalah prestasi itu.

Dalam video nyanyian chant oleh ultras skuad Jang itu juga menunjukkan penyokong kelab tersebut turut membawa dua kain rentang dengan tulisan ‘100 tahun ke mano’ dan ‘CEO Out’.

Ini bukan kali pertama nama CEO dibangkitkan di media sosial apabila sebelum ini pemainnya sendiri, Zaquan Adha yang turut meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap individu berkenaan.

Memetik laporan Harimau Malaya, kapten kelab itu sebelum ini pernah membangkitkan spekulasi masalah gaji yang berlaku dalam skuad Jang Hobin namun sehingga kini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan NSFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram