Wonderkid kembali lepas lama berehat, 'last dance' petanda jadi aset kelab lain?


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Ikhwan sebelum ini mengalami kecederaan lutut di bahagian meniscus. — Facebook/TRW

PENANTIAN pemain muda Kelantan FC, Ikhwan Yazek untuk kembali beraksi di atas padang akan berakhir tidak lama lagi selepas dia difahamkan sudah pulih dari kecederaan panjang yang dialami pada Mac lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan lutut di bahagian meniscus dan dia pada awalnya dilaporkan terpaksa melupakan hasratnya untuk membantu skuad The Red Warrios (TRW) pada baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kecederaan tersebut dialaminya ketika aksi menentang Kuala Lumpur (KL) CIty FC aksi pada 17 Mac lalu yang menyaksikan pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu terikat 2-2 dengan skuad Warga Kota.

Proses rawatan dan pemulihan tonggak sayap lincah itu nampaknya berjalan dengan lancar apabila pemain berkenaan dilihat sudah berada di padang dan gimnasium untuk melakukan latihan peribadi.

Menerusi beberapa kepingan gambar yang dimuat naik di laman instagram peribadi Ikhwan, ia seakan-akan menunjukkan bahawa wonderkid Kelantan itu sudah pulih dari kecederaan tersebut dan hanya menghitung hari untuk kembali memperkuatkan pasukan Pantai Timur tersebut.

Namun, sejauh mana Ikhwan akan kembali menyarung semula jersi TRW bakal menjadi persoalan para penyokong berikutan kemelut dalaman seperti masalah gaji yang dialami bekas naib juara saingan Liga Perdana musim 2022 itu.

Sebelum ini ejen kepada bekas ketua jurulatih, Choi Moon Sik, iaitu Myeongho Jeong, mendakwa Ikhwan tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada pihak pengurusan susulan kecederaan itu, sehingga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk kos rawatan.

WhatsApp Image 2023-09-08 at 09.26.50

Gambar terbaharu yang dimuat naik Ikhwan pada laman Instagramnya. — Instagram/Ikhwan

Namun dakwaan berkenaan disangkal oleh pemilik Kelantan Fc, Norizam Tukiman dan menafikan tuduhan yang mendakwa pihak pengurusannya tidak menjaga kebajikan pemain, selain baginya adalah tidak masuk akal untuk berbuat demikian.

Sekiranya Ikhwan sudah tidak ada hati untuk beraksi bersama Kelantan disebabkan isu terdahulu, berkemungkinan pemain lincah itu diam-diam sudah mendapat tawaran dari kelab baharu berikutan kemahiran dan usianya yang muda dijangka dapat menjadi aset pasukan.

Malah, komen balasannya terhadap pemain sayap Kelantan, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang bertulis 'last dance beto, ada rezeki kita jumpa lagi' pada seminggu lalu seperti memberi petunjuk bahawa Ikhwan sudah memutuskan untuk meninggalkan Kelantan FC.

Bakat Ikhwan sebelum ini juga menarik minat penolong jurulatih Bawah-21 (B-21) dan ketua analisis akademi Lion City Sailors, Pol Corpas Cuatrecasas untuk membawanya masuk ke kelab Singapura tersebut.

"Saya rasa pemain muda seperti Muhaimin Izuddin, Mohamad Fazrul Amir, Ikhwan Yazek dan Harith Akif sesuai beraksi dalam Liga Singapura kerana mereka memahami permainan serta sangat bersemangat untuk berjaya.

"Jika diberi peluang untuk bawa pemain-pemain itu saya rasa Muhaimin, Ikwan dan Fazrul akan jadi pilihan saya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram