Tempang tanpa Anad Yodsangwal, Harimau Muda boleh curi peluang rebut kemenangan


  • Podium
  • Selasa, 12 Sep 2023

Sebahagian sesi latihan barisan pemain Harimau Muda kendalian Elavarasan menjelang aksi terakhir Kumpulan H berdepan Thailand. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Muda meneruskan rentak cemerlang di bumi Thailand apabila membenam Filipina 4-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan H, kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 pada Sabtu.

Kemenangan itu menyaksikan anak-anak buah E. Elavarasan mengutip tiga mata penuh untuk mengumpul enam mata maksimum dalam dua perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang untuk ke Piala Asia B-23 tahun hadapan.

Namun begitu, pertembungan antara Malaysia berdepan Thailand bagi perlawanan terakhir Kumpulan H menjanjikan aksi 'sebenar' buat kedua-dua pasukan.

Berdasarkan kedudukan carta Kumpulan H, Malaysia dan Thailand masing-masing mengutip enam mata. Namun kelebihan memihak kepada Thailand susulan perbezaan jumlah jaringan gol yang mengatasi Malaysia sekali gus meletakkan Thailand selaku pendahulu kumpulan.

Bagaimanapun, skuad B-23 negara mempunyai peluang cerah untuk menundukkan Thailand selepas penyerang Gajah Perang, Anan Yodsangwal terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan.

Difahamkan, penyerang berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk dalam aksi kedua Kumpulan H menentang Bangladesh dan terpaksa berehat dalam jangka masa yang panjang.

Dalam pada itu, skuad kendalian Elavarasan perlu bijak mengambil kesempatan kehilangan penyerang Thailand tersebut.

WhatsApp Image 2023-09-11 at 23.47.42 (1)

Sekitar aksi sesi latihan barisan pemain Harimau Muda. — Facebook/FAM

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga bahagian yang perlu diberi perhatian oleh Elavarasan untuk memastikan hasil positif berjaya dicapai ketika bertemu Thailand.

1. Jangan sia-siakan peluang

Menyedari menentang pasukan yang sukar ditewaskan, Malaysia dijangka tidak akan mempunyai begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Dalam pada itu, penyerang skuad muda kebangsaan perlu menggunakan peluang yang datang untuk mendapatkan jaringan dengan sebaiknya.

Oleh itu, penyerang negara perlu memastikan penyudah disempurnakan dengan harapan ia dapat membantu Malaysia berhasil mendapatkan jaringan.

Bagaimanapun, skuad Harimau Muda perlu berwaspada dengan ancaman pihak lawan kerana Thailand selaku pasukan tuan rumah pasti akan berjuang berhabis-habisan untuk meraih kemenangan.

2277523

Skuad Harimau Muda ketika sesi latihan bagi persiapan menghadapi Thailand dalam perlawanan akhir kelayakan Piala Asia B-23 Kumpulan H. — FAM

2. Pemilihan penjaga gawang

Semua mengetahui penjaga gol adalah pertahanan terakhir sebelum bola melintas ke dalam gawang.

Melihat kepada aksi persembahan yang ditampilkan oleh kedua-dua penjaga gol Harimau Muda, Azim Al Amin dan Rahadiazli Rahalim pastinya ia tidak menjadi masalah buat pasukan kebangsaan kerana berdasarkan rekod yang dihasilkan.

Dalam dua perlawanan ketika menentang Bangladesh dan Filipina, penjaga gol skuad muda kebangsaan menampilkan aksi luar biasa selepas mengekalkan clean sheet dalam perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Dalam pada itu, dengan pengalaman dan ketangkasan selepas dua perlawanan berlangsung, tentunya ia bukanlah satu masalah besar untuk Elavarasan memilih penjaga gawang dalam aksi berdepan Thailand.

2279097

Skuad B-23 Malaysia mesti menewaskan Thailand untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

3. Kekal fokus

Skuad kendalian E. Elavarasan harus beraksi sehabis baik pada perlawanan menentang Thailand ini untuk merebut tiga mata berharga bagi memastikan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2024 B-23 di Qatar.

Kegagalan untuk membawa pulang tiga mata penuh akan meletakkan skuad muda kebangsaan di tangga kedua, sekali gus terpaksa berharap dengan nasib untuk menentukan kemaraan mereka.

Selain itu, kemenangan tipis sudah cukup untuk memastikan mereka mampu mengaut mata maksimum dalam perlawanan berkenaan lalu membawa pasukan itu layak ke Piala Asia B-23 untuk tahun kedua berturut-turut.

Dalam pada itu, bagi mencapai matlamat meraih kemenangan, setiap barisan pemain skuad Harimau Muda perlu memberikan fokus dengan sehabis baik mungkin selain menggelak daripada melakukan sebarang kesilapan yang boleh memberi peluang serta kelebihan kepada pihak lawan mencipta sesuatu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram