Bekas penyerang Perancis antara 3 ancaman perlu dihadapi JDT ketika berdepan Kawasaki Frontale


  • Podium
  • Selasa, 12 Sep 2023

JDT dan Kawasaki Frontale pernah bertemu dalam saingan peringkat kumpulan ACL musim lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS hampir dua minggu perlawanan persahabatan antarabangsa berlangsung, aksi bola sepak di peringkat kelab akan kembali menghiburkan peminatnya.

Perkara itu turut dirasai landskap bola sepak tanah air apabila aksi Liga Malaysia ditangguhkan sejak penghujung Ogos lalu untuk memberi laluan buat pasukan negara.

Berdasarkan jadual ketika ini, lapan kelab Liga Super bakal bertanding dalam saingan Piala Malaysia sementara lapan pasukan lain, termasuk Kuala Lumpur (KL) Rovers dan Harini FT bakal beraksi dalam Piala Cabaran MFL.

Namun, bagi gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Takzim (JDT), tumpuan mereka diberikan kepada saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) yang bakal berlangsung pada 19 September.

Perlawanan pembukaan tersebut akan diadakan selepas aksi Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC, sekali gus menceritakan mengenai jadual padat mereka.

618dd00882571

Kawasaki Frontale merupakan salah sebuah pasukan terbesar dalam Liga Jepun. Agensi

Bagaimanapun, melihat kepada skuad Harimau Selatan ketika ini, mereka masih boleh dianggap sebagai pencabar dalam Kumpulan I untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Tetapi, untuk melihat kemampuan mereka musim ini, wakil daripada Jepun, Kawasaki Frontale akan menjadi ujian pertama buat juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu ketika saingan ACL 2022 dengan pasukan terbabit berjaya mengikat JDT di laman sendiri sebelum menewaskan mereka dengan keputusan 0-5 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Jadi, pertembungan berkenaan pasti akan menjadi satu tumpuan buat penyokong Harimau Selatan dengan mereka kini sedang giat mencari ayam tambatan buat Kawasaki Frontale.

Melihat kepada pemain daripada kelab Jepun itu, terdapat tiga watak yang boleh dianggap sebagai tonggak pasukan dengan mereka perlu diawasi skuad kendalian Esteban Solari.

1. Bafetimbi Gomis

Selepas bertahun-tahun mewarnai arena bola sepak Eropah, bekas penyerang antarabangsa Perancis, Bafetimbi Gomis mencari angin baharu dalam kariernya.

Keputusan berkenaan dibuat apabila pemain berkenaan memilih untuk menyertai Kawasaki Frontale ketika jendela perpindahan kedua Liga Jepun.

Ia menyaksikan penyerang berusia 38 tahun itu kembali ke kancah bola sepak Asia apabila dia sebelum ini pernah beraksi bersama kelab Saudi Arabia, Al-Hilal.

Bafetimi-Gomis-Kawasaki-Frontale

Gomis diumumkan sebagai rekrut baharu buat Kawasaki Frontale. Agensi

Jadi, memandangkan dia sudah mempunyai pengalaman di benua tersebut, ia akan menjadi satu ancaman buat benteng pertahanan JDT dalam pertembungan itu.

Meskipun sudah berusia dan masih belum beraksi setakat ini, Gomis memiliki rekod jaringan yang baik sepanjang kariernya bersama kelab-kelab sekitar Eropah, termasuk Swansea City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Di samping itu, pemain terbabit juga mempunyai pengalaman dalam ACL ketika mewakili Al-Hilal, termasuk ketika dia menjuarai kejohanan berkenaan sebanyak dua kali.

Kecemerlangan benteng pertahanan JDT akan menentukan sekiranya kebolehan Gomis mampu ditampilkan dengan harapan akan diletakkan di bahu kapten pasukan, Jordi Amat.

2. Leandro Damiao

Salah seorang import terbaik yang pernah mewarnai Liga Jepun ialah penyerang Kawasaki Frontale, Leandro Damiao sejak tiba di kelab itu pada 2019.

Ia dapat disaksikan apabila penyerang kelahiran Brazil itu memenangi Anugerah Kasut Emas liga pada 2021 selain dinamakan sebagai pemain paling bernilai pada musim yang sama.

Jadi, pemain itu boleh diletakkan sebagai antara watak utama kedua buat Kawasaki Frontale selepas Gomis yang bakal mengancam benteng pertahanan JDT.

733839_1a9e5235ff0ebf1

Sentuhan berbisa Leandro di hadapan pintu gol perlu diawasi JDT. Agensi

Musim ini, penyerang berusia 34 tahun berkenaan masih belum menjaringkan sebarang gol dalam saingan liga apabila dia mengalami kecederaan kaki sejak Februari lalu.

Isu itu menyaksikan Leandro hanya mencipta tujuh penampilan sehingga memberi kesan terhadap jentera serangan Kawasaki Frontale yang bergelut ketika ini.

Bagaimanapun, dalam dua perlawanan terakhir Liga Jepun, pemain berkenaan sudah diturunkan untuk tempoh lebih lama, sekali gus memberi bayangan bahawa dia dapat diturunkan untuk aksi berdepan JDT.

Oleh itu, kepulangannya akan memberikan satu ancaman buat skuad Harimau Selatan untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan pembukaan itu.

3. Miki Yamane

Menurut penilaian laman sesawang Transfermarkt, pemain yang menduduki tangga teratas dalam carta nilai pemain ialah bek kanan mereka, Miki Yamane.

Selepas tiba di kelab tersebut tiga tahun lalu, pemain antarabangsa Jepun itu sudah menaikkan namanya sebagai antara yang terbaik dalam posisinya.

Ini termasuk apabila dia diletakkan dalam kesebelasan utama terbaik liga itu untuk tiga tahun berturut-turut meskipun terdapat lambakan pemain import.

WhatsApp Image 2023-09-11 at 20.02.56

Yamane pernah diberikan peluang bersama skuad antarabangsa Jepun. Agensi

Kecemerlangannya itu membolehkan dia dipanggil untuk mewakili negaranya ketika Piala Dunia yang lalu dengan dia diturunkan sebanyak sekali.

Jadi, pemain berusia 29 tahun berkenaan dijangka akan diturunkan untuk aksi ACL menentang JDT untuk memastikan tiga mata dapat diraih Kawasaki Frontale.

Musim ini, Yamane sudah diturunkan sebanyak 25 kali dalam saingan Liga Jepun, termasuk tujuh penampilan lagi dalam saingan Piala Liga Jepun dan Emperor's Cup.

Kecemerlangannya sebagai bek kanan akan menentukan kecemerlangan jentera serangan skuad Harimau Selatan dengan posisi itu bakal diisi Fernando Forestieri, Heberty Fernandes atau Akhyar Rashid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram