KEPUTUSAN seri 2-2 menentang Syria pada aksi persahabatan Tier 1 tempoh hari membuktikan Harimau Malaya masih mampu memberi tentangan hebat kepada pasukan yang berada pada ranking ke-94 dunia itu.
Dengan momentum berkenaan, ramai penyokong membuat jangkaan bahawa skuad kendalian Kim Pan-gon itu mampu memberi kejutan mengikat China dan berkemungkinan mampu melakar kemenangan ke atas skuad di ranking ke-80 tersebut.
Dalam misi untuk meraih kenaikan tiga anak tangga dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu, ekor Harimau Malaya mula menzahirkan kerisauan mereka jika kesilapan ketika aksi menentang Syria berulang lagi.
Ketika perlawanan menentang Syria di Stadium East-Town Football Park, Chengdu, China pada Rabu itu, ramai penyokong meletakkan kesalahan gol pertama yang dicetak oleh pemain lawan, Mardik Mardikian di bahu tonggak tengah, Brendan Gan.
Kapten Selangor FC itu dilihat gagal membuang bola daripada kawasan berbahaya sehinggakan pasukan lawan berhasil menggunakan peluang berkenaan untuk membolosi gawang yang dijaga Syihan Hazmi.

Akhyar Rashid mencetak jaringan pertama ketika menentang Syria. — Facebook/FAM
Oleh itu, sekiranya pemain berusia 35 tahun itu sekali lagi menjadi pilihan Pan-gon untuk diturunkan menjadi kesebelasan utama, ramai penyokong skuad kebangsaan berharap dia tidak mengulangi kesilapan sama.
"Punca gol pertama pihak lawan. Pegang bola lama sangat dekat D-box pasukan sendiri. Akhirnya makan diri dan kelebihan dapat pasukan lawan menjaringkan gol pertama. Harap Brendan Gan main simple football. Terus pass the ball cepat. Jangan simpan lama. Semoga maju jaga Malaysia," komen penyokong, Muhamad Zulhelmee Abdullah.
"Janganlah buat silly mistake lagi. Aku hormat dia ini," tambah penyokong, Izat Ameng.
Perlawanan menentang China ini bukan sahaja akan menaikkan ranking FIFA skuad kebangsaan, malah ia akan kemenangan pertama sejak kali terakhir menundukkan negara Tembok Besar itu pada 1980.
Untuk rekod, China memenangi lapan daripada 12 pertemuan dengan Malaysia, manakala tiga perlawanan berakhir seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
