Elavarasan tahu tugas sukar tapi Harimau Muda mahu penuhi hajat penyokong


  • Podium
  • Selasa, 05 Sep 2023

Elavarasan sedar harapan tinggi menggunung terhadap Harimau Muda dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

PENGENDALI skuad B-23 Malaysia, E. Elavarasan menyedari harapan tinggi diberikan oleh penyokong terhadap Harimau Muda untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23.

Menyedari kegagalan dua dalam dua kejohanan lalu iaitu Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23, Elavarasan tahu ini adalah masanya untuk Harimau Muda 'mengaum' dan tunjukkan kekuatan sebenar.

Bercakap kepada media sebelum aksi pembukaan pusingan kelayakan Piala Asia B-23 menentang Bangladesh, Elavarasan mengatakan para pemainnya telah mengambil banyak pengalaman berguna daripada dua pertandingan lalu dan inilah masanya untuk memberikan persembahan terbaik.

"Skuad Malaysia melakukan penggiliran pemain dan kami telah jadikan pertandingan-pertandingan lalu sebagai pengalaman. Harapnya, pemain-pemain yang ada akan melakukan yang terbaik dalam pusingan kelayakan ini," kata Elavarasan.

375799940_1005891447150758_2414761917530706836_n

Aiman Afif Afizul pastinya menjadi sandaran dalam skuad Harimau Muda. — Facebook/FAM

Menurut pengendali berusia 61 tahun ini, tiada sasaran lain ditetapkan untuk Harimau Muda sebaliknya adalah untuk layak ke pusingan akhir kejohanan yang akan diadakan di Qatar pada 2024.

Dia menyedari walaupun pusingan kelayakan ini sukar, skuadnya akan berikan yang terbaik untuk memenuhi hajat para penyokong kerana mereka hanya menerima pencapaian layak ke pusingan akhir.

"Kami datang ke sini dengan sasaran yang sama iaitu ingin mendapatkan tempat ke pusingan akhir.

"Di Malaysia, harapan itu sangat tinggi (dalam kalangan penyokong). Kami datang ke sini semestinya akan berikan yang terbaik dan akan memenuhi hajat yang dimahukan penyokong.

"Kami sedar ini adalah pusingan yang sukar, tetapi kami teruja untuk mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan ini," tambah Elavarasan lagi.

Harimau Muda akan membuka saingan kelayakan Piala Asia B-23 pada Rabu dengan Bangladesh bakal menjadi lawan pertama. Sepak mula adalah pada jam 5.30 petang waktu Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram