Idam cipta kejutan di China, Safawi akui teruja dapat posisi kegemaran


  • Podium
  • Selasa, 05 Sep 2023

Safawi pernah menghasilkan dua gol di China bersama skuad B-23 kebangsaan yang mara hingga ke suku akhir saingan Piala Asia B-23 2018. — Facebook/FAM

PENYERANG sayap skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid mahu sekali lagi ‘menggegar’ negara ‘Tembok Besar’ dalam membantu Malaysia mengekalkan rentak kemenangan pada dua aksi antarabangsa Tier 1 berdepan Syria dan China, di Chengdu, China pada September.

Pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT) itu menjaringkan dua gol dalam Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) untuk Harimau Muda di Changshu, China pada 2018, dan ramai percaya dia boleh meneruskan tuahnya apabila pasukan negara beraksi dalam dua aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu minggu ini.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia tidak sabar untuk bertemu kedua-dua pasukan tersebut dan apabila ditanya sama ada dia sedang mencari gol seperti pada 2018, dia ketawa kecil.

"Kalau diberi peluang untuk bermain saya akan buat terbaik, dengan pasukan ketika ini kami mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

"Bagi saya, kami hanya perlu berikan yang terbaik tanpa mengira siapa yang berpeluang menjaringkan gol. Apa yang penting ialah kita membawa kebanggaan kepada negara," jelasnya.

Tambahnya lagi, menghadapi Syria dan China akan menjadi ujian yang baik dan mereka telah bekerja keras untuk meraih kemenangan serta akan menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin.

Meskipun begitu, Safawi turut berkata, skuad kebangsaan masih perlu menghormati Syria dan China yang merupakan pasukan 100 terbaik dunia selain dibarisi pemain yang beraksi di Eropah.

“Kami akan berhati-hati tetapi kami akan melakukan kerja yang baik berdasarkan apa yang jurulatih mahukan," kongsinya.

Di bawah jurulatih Kim Pan-gon, Safawi diletakkan sebagai pemain nombor 10, yang membolehkan dia mempunyai lebih banyak peluang untuk membuat percubaan terus ke gawang pihak lawan.

“Untuk kedudukan nombor 10, saya tiada masalah. Saya ikut saja apa yang coach cakap. Di mana sahaja dia mahu saya bermain, saya akan melakukannya.

“Saya hanya mahu membantu pasukan berjalan dengan baik dan diharapkan dapat menyebabkan satu atau dua kejutan dan meningkatkan kedudukan kami," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram