KEMENANGAN Manchester City ke atas Fulham dicemari dengan kontroversi gara-gara keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengesahkan gol kedua The City.
The City mendahului pada minit ke-31 menerusi Julian Alvarez namun tuan rumah tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat menerusi Tim Ream menyamakan kedudukan dua minit selepas itu.
Sebelum babak pertama berakhir, The City kembali mendahului menerusi jaringan Nathan Ake.
Namun, pemain dan staf Fulham mendakwa gol tersebut sepatutnya tidak dikira gara-gara pertahanan tengah Manchester City, Manuel Akanji berada pada kedudukan ofsaid.
Bagaimanapun, selepas gol tersebut diperiksa oleh VAR, gol tersebut tetap dikira yang sekali gus mencetuskan kemarahan pengurus Fulham, Marco Silva dan pasukannya tidak mahu meneruskan perlawanan tersebut.
Selepas ditenangkan oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver, permainan diteruskan dengan keputusan kekal 2-1.
Skuad The Citizens itu kemudiannya menambah tiga lagi gol menerusi hatrik Erling Haaland pada minit ke-58, 70 (sepakan penalti) dan minit-minit akhir perlawanan.
Bukan sahaja pasukan Fulham yang tidak bersetuju dengan keputusan VAR malah penyokong Fulham juga marah dengan keputusan VAR tersebut.
Penyokong turut mengatakan bahawa Akanji berada dalam kedudukan ofsaid dan menghalang pandangan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
"Memalukan, keputusan VAR yang tidak tepat," kata penyokong Fulham.
Kemenangan kontroversi ini membolehkan City terus gah mengungguli carta Liga Inggeris dengan 12 mata selepas empat perlawanan sementara Fulham pula berada di tangga ke-13 liga dengan empat mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram