APABILA bercakap mengenai bek kanan, harus diakui bahawa Malaysia mempunyai banyak bakat di posisi berkenaan.
Selama ini, peminat sering memuji kualiti pertahanan Matthew Davies, Rizal Ghazali, Syahmi Safari, Quentin Cheng dan Declan Lambert namun hakikatnya terdapat beberapa permata baharu yang muncul.
Salah seorang daripada permata baharu itu ialah bek kanan muda Terengganu, Azam Azmi Murad yang sudah menjadi pemain utama untuk skuad The Turtles sejak dua musim lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu mempunyai pelbagai kualiti seperti larian pantas untuk membantu bahagian serangan, terjahan padu dan bersih, serta kebolehan membuat pemintasan tepat yang mana menjadikannya aset untuk pertahanan mana-mana pasukan.
Tonggak kelahiran Pulau Pinang itu dijangka memainkan peranan penting untuk pasukan Bawah 23 tahun (B-23) Malaysia untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam aksi kelayakan Piala Asia Bawah 23 AFC di Thailand dari 6-12 September.
Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama Thailand, Bangladesh dan Filipina, dengan semua perlawanan dimainkan di Chonburi, Thailand.
Azam Azmi bagaimanapun akan menghadapi saingan sengit untuk kesebelasana utama di bahagian bek kanan kerana M. Rakesh juga berhasrat untuk menjadikan kedudukan itu miliknya selepas mempamerkan aksi mengagumkan dalam Kejohanan Bawah 23 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).
Skuad Harimau Malaya B-23 sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand. — Facebook/FAM
Pemain Kelantan FC yang serba boleh itu juga berusia 22 tahun dan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Azam dari segi gaya permainan.
“Kami berdua serupa. Kami gemar berlari, sentiasa beraksi semasa perlawanan dan kami juga gemar bertahan. Saya menonton persembahan Rakesh semasa pertandingan dan sesi latihan AFF. Dia seorang pemain yang berkualiti.
“Bagi saya, ini adalah persaingan yang sihat kerana kami saling mendorong untuk melakukan yang lebih baik. Semua pemain dalam pasukan kami mempunyai kualiti. Tidak ada superstar, jadi kami semua perlu berjuang untuk tempat kami," katanya.
Azam sudah memulakan 18 perlawanan liga untuk Terengganu musim ini tetapi terlepas tiga perlawanan kerana kecederaan hamstring.
Dia berkata, tidak beraksi adalah sukar baginya tetapi dia lega kerana kembali cergas dan bermain untuk pasukan B-23 kebangsaan.
“Motivasi saya sedikit menurun selepas terpaksa diketepikan dari mengambil bahagian dalam beberapa perlawanan. Saya lega dapat kembali dan saya fokus untuk bermain dengan baik sekali lagi.
"Saya telah bermain empat perlawanan sebelum panggilan kebangsaan, jadi kecergasan saya baik dan saya bersedia,” jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram