Peluang Harimau Malaya sekat 2 penggempur berbisa Syria, China elak gawang bocor


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Syria dan China bakal jadi lawan getir Malaysia untuk menguji kekuatan sebenar Harimau Malaya. — Facebook/FAM

UJIAN getir bakal menanti Harimau Malaya apabila mereka terbang ke China untuk dua aksi persahabatan antarabangsa.

Dua pasukan 100 terbaik dunia, Syria dan China bakal menanti skuad Kim Pan-gon sebagai salah sebuah persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan pusingan akhir Piala Asia 2023.

Ia bakal menjadi pembuka mata dan memberikan realiti sebenar kepada kekuatan Harimau Malaya yang sudah meningkat dalam masa setahun, adakah sudah cukup hebat atau masih lagi banyak kekurangan?

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini adalah analisis ringkas mengenai dua lawan bertaraf gergasi Asia yang bakal ditentangi Malaysia.

373597635_1004394383967131_8838495336383938876_n

Harimau Malaya berlatih di Wisma FAM sebelum terbang ke China. — Facebook/FAM

1. Syria

Berkedudukan 94 dunia dalam ranking FIFA, Malaysia sebenarnya pernah bertemu dengan negara ini beberapa kali.

Sebagai rekod, Malaysia dan Syria sudah bertemu sebanyak tiga kali dengan hanya sekali sahaja Harimau Malaya berjaya menewaskan mereka.

Kemenangan itu terhasil pada 2009 dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dengan Malaysia menewaskan Syria dengan jaringan 4-1.

Syria pula menewaskan Malaysia pada 2014 dengan jaringan 3-0 serta 2-1 pada tiga tahun kemudiannya.

Melompat ke hari ini, tumpuan Malaysia haruslah diberikan kepada penyerang mereka iaitu Omar Al-Somah. Penyerang Al-Arabi itu cukup tajam di depan pintu gol selepas berjaya menjaringkan 27 gol dalam 27 aksi bersama kelabnya musim ini.

Omar Al-Somah cukup ampuh untuk Syria. — Agensi

Bersama Syria, penyerang berusia 33 tahun ini pula telah mencetak 19 jaringan dalam 36 aksi dan itu adalah satu rekod yang baik.

Jika diturunkan, pastinya tumpuan harus diberikan kepada Al-Somah. Namun begitu, nama-nama seperti Omar Khribin dan Mahmoud Al-Mawas turut perlu diikat ketat pergerakan mereka apabila Harimau Malaya menentang mereka.

2. China

Kini menduduki tangga ke-80 dunia, China sememangnya dikenali sebagai antara jaguh bola sepak Asia.

Sejarah antara Malaysia dan China cukup panjang dalam bola sepak. Mereka kali pertama bertemu pada 1976 apabila Harimau Malaya tewas 0-2 dalam aksi persahabatan.

Pertemuan paling dikenang dalam sejarah dua negara ini pastinya ketika Piala Asia 2007 di mana Malaysia dimalukan 1-5 dalam aksi peringkat kumpulan.

Untuk rekod, Malaysia telah bertemu China sebanyak 12 kali dengan mencatatkan hanya satu kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan.

Bagi pemain tumpuan pula, Wu Lei adalah pemain yang perlu diberikan perhatian sekiranya diturunkan. Walaupun sudah berusia 32 tahun, pemain ini beraksi dengan cukup pantas dan lincah serta cukup tajam di depan gol.

Setakat musim ini, Wu Lei sudah menyumbat 14 gol dalam 24 perlawanan untuk kelabnya Shanghai Port sambil menghasilkan enam bantuan gol.

73e7a26c35de466d8daecba43949f037

Jangan pandang rendah kehebatan Wu Lei. — Agensi

Nama lain yang perlu difokuskan adalah Elkeson. Penyerang naturalisasi China ini sudah sebati dengan bola sepak negara itu dan antara penggempur ampuh juga.

Penyerang veteran itu bagaimanapun hanya mencatatkan lima gol dan satu bantuan gol sahaja musim ini tetapi itu bukanlah tanda pertahanan Malaysia perlu leka apabila mengawalnya.

Ujian yang akan diberikan oleh Syria dan China cukup penting untuk Malaysia. Walaupun ia adalah sukar, tetapi pasti boleh dilakukan dengan sebaiknya kerana Harimau Malaya bukanlah pasukan yang mudah mengalah.

Aksi menentang kedua-dua pasukan akan diadakan pada 6 dan 9 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram