
PENGENDALI skuad B-23 Malaysia, E. Elavarasan menegaskan yang pembentukan sebuah pasukan yang terbilang memerlukan banyak masa dan penyokong tidak boleh mengharapkan keputusan segera.
Elavarasan berkata demikian selepas melihat skuad kendaliannya gagal sebanyak dua kali sebelum ini iaitu ketika saingan Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand.
Di Kemboja, Harimau Muda terkandas di peringkat kumpulan sementara tempat keempat sahaja yang mampu diraih sewaktu beraksi di Thailand walaupun sasaran asal adalah memasuki perlawanan akhir.
Menjelang aksi kelayakan Piala Asia B-23 yang sekali lagi diadakan di Thailand tetapi lokasinya adalah Chonburi, Elavarasan tahu dia mempunyai peluang kerana barisan pemain yang dipanggil adalah terbaik dalam kalangan terbaik.
Fergus Tierney dijangka bakal jadi pemain sandaran dalam aksi kelayakan di Piala Asia B-23. — Facebook/FAM
Menurut Elavarasan, untuk membentuk sesebuah skuad yang kuat, ia memerlukan proses dan masa yang panjang, jadi orang ramai tidak boleh mengharapkan keputusan segera.
"Ramai yang tidak tahu proses, mereka cuma harapkan keputusan yang segera sahaja. Tetapi itu bukanlah caranya.
"Sebagai jurulatih, saya tahu yang para pemain yang saya ada adalah yang terbaik untuk peringkat umur mereka. Mereka juga telah melalui proses pembelajaran menerusi latihan dan juga pertandingan," ujar Elavarasan.
Skuad Harimau Muda kali ini dikuatkan dengan dua bintang tempatan yang beraksi di luar negara iaitu Nooa Laine dan juga Luqman Hakim. Selain itu, bintang-bintang muda Liga Super seperti Azam Azmi, Sikh Izhan dan Mukhairi Ajmal turut menyertai pasukan.
Sikh Izhan antara nama bintang dipanggil Elavarasan. — Facebook/FAM
Dengan adanya Nooa dan Luqman, Elavarasan berasa Malaysia mempunyai peluang untuk mengambil tempat ke pusingan Piala Asia B-23 yang akan diadakan di Qatar pada 2024.
"Dengan adanya pemain seperti Nooa dan Luqman, kita mempunyai skuad yang kuat untuk merebut tempat (ke pusingan akhir Piala Asia B-23)," kata Elavarasan.
Harimau Muda diundi bersama-sama Thailand, Bangladesh dan Filipina dalam peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia B-23. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram