SELEPAS 10 tahun menghilang, akhirnya kejohanan itu akan dianjurkan kembali dari 13 hingga 17 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan menyaksikan India, Palestin dan Tajikistan menjadi tetamu bagi edisi 2023 ini.
Umum mengetahui Pestabola Merdeka adalah pertandingan bola sepak tertua di Asia yang mana kali pertama diadakan pada tahun 1957 dan diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sempenan kemerdekaan pertama tanah air.
Kejohanan berprestij dan diiktiraf sebagai Perlawanan Persahabatan Tier A oleh FIFA itu dahulunya banyak disertai oleh pasukan bola sepak popular Asia seperti Korea Selatan, Arab Saudi dan Iraq.
Oleh itu, tidak hairanlah jika legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan melabel Pestabola Merdeka seperti Piala Dunia versi Asia berikutan tahap popularitinya dalam kelangan penyokong rantau tersebut.
Malah, bekas pengendali Penang FC itu juga opstimis bahawa penganjuran tahun ini pasti menarik perhatian pasukan bola sepak negara lain kerana martabat kejohanan Pestabola Merdeka sejak dahulu.
Zainal Abidin ketika sesi pengumuman jalinan kerjasama FAM dan My AEON di AEON BiG, Wangsa Maju pada Khamis.
"Pestabola Merdeka ibarat Piala Dunia kerana pasukan-pasukan yang menyertai dulu hantar first team dan ini adalah piala yang ditunggu-tunggu semua rakyat Malaysia kerana martabatnya yang tinggi.
"Bagi saya untuk memulakan semula Piala Merdeka ini memang ada sedikit kekurangan tapi bila bermula semua negara macam Korea Selatan dan Arab Saudi akan kembali untuk menyertainya.
"Mereka mengenali pestabola merdeka. InshaaALLAH mereka kembali dan di situlah performance pemain akan meningkat apabila pasukan giant di Asia menyertai Pestabola Merdeka," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Pestabola Merdeka 2023.
Tambahnya, penganjuran Pestabola Merdeka juga dilihat sebagai satu platform yang baik untuk menyaksikan berlaku persaingan sihat dalam kalangan pemain tempatan untuk berebut peluang mewakili skuad kebangsaan.
Zainal Abidin berharap agar pihak FAM akan komited menganjurkan kejohanan tertua di Asia itu bagi menyungkil bakat pemain lain untuk dibawa ke dalam skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.
"Liga tempatan akan lebih bersaing kerana pemain nak beraksi di laman sendiri dan di hadapan penyokong sendiri. Jika ada pestabola begini, akan menyungkil lebih banyak bakat pemain kebangsaan.
"Masa saya perlawanan pendek, kejohanan liga pendek tapi sekarang liga panjang dan mungkin ini jadi beban untuk adakan. Saya harap dengan kebijaksanaan FAM, piala ini dapat berterusan," tambahnya.
Zainal Abidin ketika aksi Pestabola Merdeka pada 1980 menentang Korea Selatan.
Sementara itu, Zainal Abidin juga sempat mengulas ketika mewakili skuad kebangsaan buat julung kali ketika masih berusia 17 tahun bagi menghadapi Pestabola Merdeka 1980 adalah kenangan paling manis.
"Kerana semasa di bangku sekolah saya ke stadium tengok Pestabola Merdeka dan lihat Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh beraksi, kemudian selepas itu saya dapat panggilan wakil negara ketika berumur 17 tahun dan dapat bermain bersama mereka, itu yang tak boleh dilupakan.
"Saya pernah jadi juara, naib juara dan tempat ketiga tetapi inilah (Pestabola Merdeka) yang jadikan saya pemain bola yang baik kerana Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi (menyertai) kami (pemain) dapat improve,” kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram