Husin mula disayangi fans Jang, ramai idam kelab ikat lebih lama


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Hein tiba dengan harapan untuk membantu jentera serangan skuad Jang yang tumpul musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

MESKIPUN sebelum ini ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan menegaskan tiada pemain baharu bakal dibawa masuk, pihak pengurusan kelab membuat kejutan pada minit-minit akhir jendela perpindahan lalu.

Pemain sayap Selangor FC, Hein Htet Aung dibawa masuk secara pinjaman sebelum seorang lagi penyerang import, Youssef Ezzejjari turut diumumkan kehadirannya pada hari yang sama.

Tumpuan semestinya diberikan kepada Youssef memandangkan pemain berkenaan mempunyai pengalaman lebih luas selepas beraksi bersama beberapa pasukan Asia Tenggara di Indonesia dan Thailand.

Selain itu, namanya turut disebut-sebut dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila difahamkan dia terlebih dahulu sudah mengikat kontrak bersama Kelantan FC.

Namun, harapan untuk menyaksikannya membaiki jentera serangan skuad Jang yang tumpul tidak kesampaian apabila pemain berkenaan terus bergelut setiap kali diturunkan.

369977803_721559786651407_788359866608469923_n

Youssef gagal memberikan impak meskipun tiba dengan reputasi cukup baik. Facebook/Negeri Sembilan FC

Untuk rekod, penyerang berusia 30 tahun itu masih belum menjaringkan sebarang gol dalam dua penampilan Liga Super, yang mana pastinya sukar diterima penyokong Negeri Sembilan FC.

Bagaimanapun, kekecewaan itu terubat apabila seorang lagi rekrut iaitu Hein tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri meskipun lebih kerap memanaskan bangku simpanan ketika bersama Selangor FC.

Pemain yang juga dikenali sebagai 'Husin' dalam kalangan penyokong itu sudah berjaya menambat hati orang ramai selepas menjaringkan dua gol dalam tiga penampilan bersama skuad Jang dalam semua pertandingan.

Sumbangan itu jelas dihargai Negeri Sembilan FC sehingga mereka terbuka untuk memuat naik satu hantaran di laman Facebook rasmi kelab yang dikhaskan buat penyerang sayap kebangsaan Myanmar itu.

Jadi, seperti mana dijangkakan, ruangan komen di hantaran tersebut menyaksikan puluhan penyokong skuad Jang sempat memberikan pujian menggunung terhadapnya.

"Budak Myanmar ni memang Devan minat dengan cara permainan dia. Bolehlah buat tawaran lebih sikit, barulah dia tak lari. Pakej lengkap, rajin, laju dan stamina juga cukup bagus," kata Mus Robakyah.

2207695

Hein jarang diberikan peluang bersama skuad Gergasi Merah musim ini. Facebook/Selangor FC

"Terbaik, tahniah Husin. Kalau Husin tak bagus, takkanlah Negeri Sembilan FC nak pinjam? Sekiranya Negeri Sembilan FC nak ikat terus, bincanglah dengan sebaik-baiknya," kata Musa Ismail.

"Jaga elok-elok dia ni, boleh dikatakan ibarat lipas kudung. Walaupun hanya pinjaman, kita perlu gunakan dia sebaik mungkin," ujar Nizam Gemas.

Sepanjang separuh musim bersama skuad Gergasi Merah, Hein hanya diturunkan sebanyak 12 kali dengan hanya tujuh daripadanya merupakan penampilan dalam kesebelasan utama.

Tetapi, dengan kecenderungan Tan Cheng Hoe untuk meletakkan Mukhairi Ajmal di posisi sayap kanan, pemain berusia 21 tahun itu terpaksa mencari angin baharu.

Melihat kepada persembahan serta hubungannya bersama Negeri Sembilan FC ketika ini, terdapat kemungkinan Hein akan melanjutkan tempoh pinjamannya sehingga pertengahan musim akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram