SELEPAS sekian lama sudah tidak beraksi di atas padang, Fernando Forestieri sudah mula dirindui oleh penyokong-penyokong Harimau Selatan.
Forestieri mengalami kecederaan selepas terjahan keras pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Akram Mahinan dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung pada 22 Julai lalu.
Disebabkan itu pemain berusia 33 tahun itu terpaksa berehat panjang dan rekod penjaring terbanyak dalam Liga Super sudah dipintas oleh Ayron del Valle (Selangor).
Namun begitu, Johor Darul Takzim (JDT) masih gah di Liga Super dan bakal dinobatkan sebagai juara buat kali yang ke-10 berturut-turut walapun ketiadaan tonggak utama seperti Forestieri dan Leandro Velazquez.
Leandro dijangka terlepas kesemua baki saingan Liga Super.
Baru-baru ini, pengendali JDT, Esteban Solari memberitahu status kecederaan yang dialami dua pemain bintang Harimau Selatan itu.
"Forestieri memerlukan tempoh 15 hari lagi untuk pulih jadi kita akan lihat samada dia akan cergas sepenuhnya untuk Liga Juara-Juara Asia (ACL) atau tidak.
"Manakala Leandro pula memerlukan tempoh untuk pulih yang lama, saya rasa beberapa bulan untuk dia pulih sepenuhnya," katanya.
Kehadiran Forestieri akan memberikan tonik tambahan buat JDT untuk menghadapi kejohanan tertinggi Asia, ACL yang dijadualkan akan berlangsung September ini.
Harimau Selatan dijangka akan berdepan laluan sukar dalam saingan ACL 2023/24 apabila diundi bersama kelab gergasi Korea Selatan, Jepun dan Thailand.
Pasukan yang akan menentang JDT dalam ACL.
Ibarat mengulangi pertemuan musim 2022, skuad Harimau Selatan sekali lagi bakal berdepan Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale. Satu lagi lawan mereka ialah BG Pathum United yang merupakan naib juara Liga Thailand.
Sebelum ini, Solari mengakui tugas sukar sedang menanti pasukannya kerana kualiti saingan ACL tidak sama dengan aksi Liga Super.
"Tentu sekali kumpulan yang sukar berada bersama kelab dari Jepun, Korea Selatan dan Thailand yang mana mereka adalah pasukan pilihan. Semua tahu kita akan berdepan perlawanan yang sukar.
"Kami kena fikirkan untuk menyediakan pasukan terbaik dari segi taktikal dan mental. Kami lihat peluang tetap ada dan harus diingat format ACL musim ini tidak sama seperti tahun lalu," jelasnya.
Perlawanan peringkat kumpulan dijadualkan berlangsung bermula 18 September 2023 hingga 13 Disember 2023. Setiap kelab akan beraksi dalam 6 perlawanan home dan away. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram