[VIDEO] TMJ pernah turun padang bantah keputusan pengadil


  • Podium
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Tunku Ismail antara individu yang sering membidas kualiti pengadil di tanah air.

MUTU pengadilan dalam arena bola sepak tanah air sering menjadi topik perbualan penyokong dan antara yang sering bersuara mengenai isu kontroversi itu ialah pemilik kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Sejak beliau menceburkan diri di dalam bola sepak pada 2013, Tunku Ismail sudah membidas kualiti pengadil di negara ini dan tertanya-tanya sama ada bookie telah memberi pengaruh kepada pengadil.

Menurut laporan pada 31 Ogos 2013, Tunku Ismail meminta agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti keputusan yang dibuat dalam beberapa perlawanan pada musim tersebut.

Antara kejadian hangat yang berlaku apabila beliau berdepan dengan pengadil semasa perlawanan Piala Malaysia membabitkan JDT menang 1-0 menentang Felda United di Stadium Larkin.

Ketika perlawanan berkenaan, video berdurasi 93 saat yang tular di YouTube menunjukkan Tunku Ismail bersemuka dengan pengadil untuk membantah keputusan perlawanan itu.

Tujuan Tunku Ismail turun ke padang adalah untuk meminta penjelasan daripada pengadil mengenai alasan membatalkan jaringan awal yang dijaringkan oleh Harimau Selatan ketika perlawanan itu.

Selepas perlawanan kontroversi itu, Tunku Ismail menyatakan bahawa pihak Johor FA sudah menghantar video dan surat rasmi kepada FAM berhubung keputusan pengadil.

Namun agak mengecewakan apabila ketika itu badan induk berkenaan tidak memberi sebarang jawapan kepada pihak Johor FA walaupun sudah menghantar surat rasmi.

Dalam pada itu, beliau juga ketika itu menggesa FAM juga perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap pengadil untuk melihat sama ada sebahagian daripada mereka sudah didekati oleh bookie.

“Sehingga kini FAM tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan masalah pengadil ini,” katanya memetik laporan 31 Ogos 2013 itu sambil menambah pasukan lain dalam Liga Super dan Liga Perdana turut menjadi mangsa keputusan sedemikian.

Tunku Ismail turut berkata, pihak FAM harus mempertimbangkan untuk menjadikan pengadil sebagai kerja profesional dan bukannya hanya untuk pekerja sambilan.

“Sekiranya mereka (FAM) tidak mempunyai dana untuk itu, Johor FA akan membantu mereka dalam apa jua cara sekalipun, termasuk memberi sokongan kewangan, kerana kami mahu pengadil profesional di negara ini supaya taraf dan kualiti bola sepak Malaysia meningkat,” jelasnya pada 10 tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram