MFL masih belum pasti gunakan VAR pada final Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Sebelum ini seramai 40 pengadil Malaysia bersama 14 'replay operator' menjalani latihan fasa kedua VAR. — Facebook/FAM

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum pasti sama ada sistem pembantu pengadil video (VAR) akan digunakan buat kali pertama di negara ini dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, mereka tidak mahu tergesa-gesa melaksanakannya tanpa persediaan rapi sehingga boleh mengganggu kelancaran penggunaan teknologi terbabit.

Tambahnya, MFL akan mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu termasuk memastikan pengadil bersedia menggunakan VAR apabila ia dilaksanakan.

stuart

Stuart menegaskan bahawa perlu persediaan rapi sebelum memutuskan untuk menggunakan VAR. — Facebook/Bernama

“Pengadil sudah pun memulakan latihan dan untuk mengesahkan tarikh (penggunaan VAR), kita memerlukan pertimbangan dari beberapa aspek termasuk isu teknologi ini, rangkaian internet dan juga latihan.

“Kami mempunyai wakil FIFA sudah bersama kami untuk perbincangan terperinci sebelum melaksanakan VAR.

“MFL akan mengumumkan tarikh bila kami akan melaksanakan VAR secara rasmi, tetapi seperti yang semua sedia maklum, latihan untuk pengadil dan pembelian peralatan juga telah bermula.

“VAR juga memerlukan rangkaian internet yang kukuh dan stabil di stadium. Semua ini perlu disediakan sebelum tarikh diumumkan. Mungkin, kita boleh buat pengumuman dalam masa satu atau dua minggu,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan sebelum ini bahawa ia akan menggunakan sistem VAR buat pertama kali di negara ini pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada Disember ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, MFL akan melaksanakannya secepat mungkin bagi meningkatkan lagi mutu sukan itu di negara ini.

FAM, bersama MFL dan wakil dari FIFA sedang giat melatih pengadil menggunakan VAR dan membeli peralatan bagi penggunaan teknologi terbabit agar ia boleh digunakan secara rasmi nanti. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram