Masih belum terlambat, 3 bintang muda wajar dipertimbangkan Elavarasan sebelum ke Thailand


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Kesebelasan utama Malaysia ketika menentang Thailand dalam Piala AFF B-23 pada Sabtu. — Facebook/FAM

HANYA tinggal lapan hari buat skuad muda negara Bawah-23 (B-23) tahun untuk melakukan persiapan terakhir bagi membawa nama Malaysia beraksi dalam Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2024.

Sejak E. Elavarasan dilantik sebagai pengendali skuad B-23, hanya satu trofi yang berjaya dibawa pulang ke tanah air iaitu Piala Merlion 2023 pada Mac lalu.

Ketika itu, Harimau Muda berjaya menundukkan Hong Kong B-23 dengan keputusan 2-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 26 Mac lalu.

Namun selepas kejohanan Piala Merlion, graf prestasi skuad muda negara dilihat mula menurun apabila tersingkir awal dalam acara bola sepak Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei lalu.

Piala Merlion

Harimau Muda menjuarai Piala Merlion pada Mac 2023.

Skuad kendalian Elavarasan mencatatkan dua kemenangan serta tewas di tangan Thailand dan Vietnam sekali gus Harimau Muda terkeluar awal dari Kumpulan B.

Terbaharu, Elavarasan sekali lagi gagal menempatkan diri dalam tiga pasukan terbaik kejohanan Piala AFF B-23 apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti 3-4 dengan Thailand.

Meskipun bermula cemerlang dengan menjadi juara Kumpulan B selepas menewaskan Indonesia (2-1) dan Timor -Leste (3-1), skuad muda negara dibenam Vietnam dalam pusingan separuh akhir.

Dengan Kelayakan Piala Asia B-23 semakin hampir, Elavarasan wajar mempertimbangkan untuk membawa tiga pemain-pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.

Majoriti senaraikan tiga pemain muda yang boleh dipertimbangkan barisan kejurulatihan B-23 untuk dipanggil sebelum berangkat ke Thailand minggu depan:

Muhaimin

Muhaimin musim ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Kedah. Facebook/Kelantan FC

1. Muhaimin Izuddin (Kelantan FC)

Sejak tahun lalu, nama pemain muda tengah Kelantan FC, Muhaimin Izuddin Asri dikatakan antara nama yang menjadi buruan kelab-kelab elit Liga Super yang memantau rapat bakatnya.

Musim ini pemain muda berusia 21 tahun itu sudah pun dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M), termasuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Meskipun prestasi Kelantan dilihat agak bergelut ketika ini, tetapi bukan untuk bekas pemain projek FAM-MSN itu apabila corak permainan yang dibawa oleh Muhaimin sangat menarik untuk dipertonton oleh penyokong Liga M.

Boleh beraksi di pelbagai posisi termasuk bahagian sayap, Muhaimin telah bermain sebanyak 16 perlawanan Liga Super musim ini.

Kematangan Muhaimin mengawal jentera tengah Kelantan pada usia yang sangat muda wajar diperhatikan Elavarasan.

Gabriel

Nistelrooy mencatatkan 12 gol dalam Piala MFL bersama JDT II. Facebook/JDT

2. Gabriel Nistelrooy (JDT II)

Nama pemain muda Johor Darul Takzim II (JDT II), Gabriel Nistelrooy Tamin semakin menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika ini terutamanya di Sarawak.

Pemain kelahiran Miri itu mencatatkan rekod baik selepas menjadi satu-satunya anak kaum Iban yang pertama menempah nama dalam kelab gergasi JDT II.

Selain beraksi cemerlang dalam saingan Piala MFL 2023, pemain berusia 23 tahun itu turut menjadi perhatian selepas mencatatkan 12 gol dalam Kumpulan A.

Nistelrooy mempunyai peluang yang cerah untuk bergelar pemenang kasut emas MFL kerana memiliki kelebihan apabila berada dalam kelab terbaik Asia dan mempunyai bimbingan jurulatih berpengalaman.

Jika skuad B-23 masih memikirkan siapakah bakal menjadi penyerang utama Harimau Muda bagi Kelayakan Piala Asia B-23, Inilah masanya untuk Elavarasan memberikan peluang kepada Nistelrooy membuktikan kualitinya berada di atas padang.

Asyar

Aysar pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik saingan Piala AFF B-19. Facebook/JDT

3. Aysar Hadi (JDT II)

Antara tonggak utama JDT II dalam Piala MFL musim ini, Aysar sudah pun menjaringkan gol pertamanya bersama skuad senior Harimau Selatan.

Kapten skuad B-19 negara itu pernah membantu pasukan menjuarai saingan Piala AFF B-19 dengan menewaskan Laos 2-0 pada pentas final di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jakarta pada 2022.

Pemain berusia 20 tahun itu juga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik saingan Piala AFF B-19 itu.

Berlatih dan bermain dengan pemain-pemain bertaraf bintang ia pastinya memberikan kelebihan buat Aysar untuk membantu skuad muda negara mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand pada September. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram