'Permainan saya kurang bagus', wira beregu pingpong tahan sebak capai sasaran emas Malaysia di APG 2023 Kemboja


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

Chaoming dan Brady menghadirkan pingat emas ke-33 buat negara menerusi acara beregu pingpong lelaki pada APG 2023 pada Selasa. — Bernama

PASANGAN Chee Chaoming dan Brady Chin tersenyum puas apabila menghadirkan kilauan pingat emas ke-33 buat negara menerusi acara beregu pingpong lelaki (Kelas 9- masalah keseimbangan ringan) pada Sukan Para Asean (APG) 2023 pada Selasa.

Turun sebagai bukan pilihan kejohanan, pasangan itu tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pasangan Filipina Linard Combras dan Benedicto Hernandez 11-8, 11-7 dan 11-8 pada aksi final di Dewan Pingpong, Stadium Nasional Morodok Techo.

Chaoming yang ditemui pemberita selepas kemenangan itu bagaimanapun tidak menyangka mampu melakukan kejutan apabila buat pertama kalinya digandingkan APG edisi ke-12 pada Selasa.

"Bangga sebab emas ini dapat capai Malaysia punya sasaran sebab masa separuh akhir tadi, permainan saya kurang bagus jadi memang saya kawal emosi di final.

“Tetapi yang paling tidak sangka apabila saya menang bermain bersama pemain muda dan dapat dua emas bersama dia (Brady),” katanya di Phonm Penh, Kemboja pada Selasa.

Brady yang kelihatan sebak sejurus mengesahkan kemenangan pingat emas itu berkata, doa keluarga yang berada di Shah Alam, Selangor termakbul buat dia meraih pingat emas di kejohanan antarabangsa.

"Keluarga saya memang sentiasa bagi sokongan luar biasa macam sekarang abang saya terkena penyakit Covid-19 namun masih melihat permainan saya melalui dalam talian,” katanya.

Mereka juga meraih emas berpasukan lelaki Kelas 9 pada Selasa.

WhatsApp Image 2023-06-07 at 10.25.00-2

Poster pungutan pingat kontinjen Malaysia.

Kejayaan pasangan beregu itu menyaksikan Malaysia berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia iaitu 33 emas pada selepas berakhir hari keempat temasya APG 2023.

Walaupun begitu, negara masih kekal berada pada kedudukan keempat dalam carta pungutan pingat sebanyak 78 pingat, manakala tempat pertama kekal diunggul kontinjen Indonesia dengan 235 pingat.

Selain pasangan Chaoming-Brady kem renang juga menyumbang empat emas menerusi Fraidden Dawan dalam acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu S10; Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan (100m kuak kupu-kupu S14); Rusdianto Rusmadi (100m kuak kupu-kupu S8) dan Bryan Lau dari 100m gaya bebas S14.

Manakala, kontinjen olahraga negara sekadar meraih tiga pingat emas menerusi Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dalam acara 400m lelaki T20; Mohammad Zikri Zakaria (lontar peluru F55) dan Doriah Poulus menerusi acara lontar peluru F44.

Noor Askuzaimey Mat Salim dari pula menyumbang satu pingat emas menerusi boccia individu wanita BC4.

Sumbangan sembilan pingat emas, 10 perak dan lima gangsa pada Selasa menyaksikan Malaysia kini mempunyai 33 emas, 27 perak dan 18 gangsa. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram