Dipanggil Malaysia Boy di negara sendiri, 2 import ada cara sambut merdeka


  • Podium
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Kipre dan Romel menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka. —Facebook/KLCity

HARI Kebangsaan 2023 disambut dengan meriah di Dataran Putrajaya bermula jam 8 pagi pada Khamis yang mana orang ramai meluangkan masa menyaksikan acara perbarisan melibatkan sekitar 17,000 peserta terdiri daripada 10 komponen.

Sambutan di dataran itu adalah salah satu daripada cara digunakan oleh rakyat Malaysia untuk menunjukkan semangat patriotisme mereka sempena sambutan bulan kemerdekaan yang ke-66 tahun ini.

Sambutan Hari Kebangsaan pastinya disambut oleh setiap rakyat Malaysia termasuklah pemain bola sepak tanah air meskipun mereka kini mempunyai jadual padat perlawanan melibatkan kelab mahupun tugasan negara.

Bukan hanya pemain tempatan, malah tidak dapat dinafikan sambutan kemerdekaan juga dirasai oleh tonggak import terutamanya mereka yang sudah lama menetap di tanah air.

Seperti penyerang import Kuala Lumpur (KL) City, Tchetche Kipre yang sudah bermastautin di tanah air sejak 2017 dengan menyertai Terengganu FC (TFC), dia mengakui bahawa Malaysia adalah rumah keduanya.

Berkongsi kepada Majoriti mengenai sambutan perayaan kemerdekaan, pemain berusia 35 tahun itu akui teruja untuk melihat suasana Hari Kebangsaan di Ibu Kota berikutan tahun ini adalah kali pertamanya menyambut di Kuala Lumpur.

WhatsApp Image 2023-08-31 at 17.26.14-3

Kipre sudah mencetak tujuh jaringan gol bersama KL City untuk Liga Super musim ini. —Facebook/KLCity

Pemain kelahiran Ivory Coast sebelum ini berkhidmat untuk skuad Sang Penyu dan mula menyertai pasukan Warga Kota pada awal musim ini sebagai penyerang import baharu KL City.

“Saya boleh cakap untuk karier bola sepak, saya banyak habiskan masa di luar daripada tanah air saya. Dah 13 tahun dan paling lama saya duduk di Malaysia. Saya dah anggap Malaysia sebagai rumah.

“Saya memang anggap diri sebahagian Malaysia, walau dalam negara saya mereka panggil saya ‘Malaysia Boy’ seban banyak luangkan masa di Malaysia.

“Saya selalu tengok apa orang buat bila merdeka, saya di KL jadi saya teruja untuk tahu apa mereka, Saya akan cuba keluar sebab nak tengok suasana merdeka di KL. Jika ada dapat apa-apa jemputan dari kawan-kawan untuk sambut merdeka, saya akan datang,” katanya kepada Majoriti.

Bagi penyerang import Columbia, Romel Morałes pula berkata, banyak perkara baharu dipelajarinya sepanjang enam tahun menjadikan Malaysia sebagai destinasi kariernya.

WhatsApp Image 2023-08-31 at 17.26.14-2

Romel mencetak lapan jaringan gol untuk Liga Super musim ini. —Facebook/KLCity

Meskipun sebelum ini dia kurang mengambil perhatian mengenai sambutan kemerdekaan namun sejak akhir-akhir ini pemain berusia 26 tahun itu semakin memahahmi kehidupan di Malaysia.

“Saya seronok juga sebab Malaysia adalah rumah kedua saya. Saya pun dah lama bermain di sini dekat enam tahun duduk sini, Malaysia buat saya selesa. Saya belajar banyak belajar dan seronok di sini. Semestinya saya pun akan cuba untuk sambut merdeka di sini sebab rasa sebahagian daripada negara ini.

“Sebelum ini saya tak melibatkan diri sangat dengan Malaysia. Sekarang saya lebih libatkan diri dengan mengetahui semua peraturan, perkara mengenai Malaysia. Semestinya saya belajar semua benda baharu. Saya semakin rasa rapat dengan rakan-rakan sini dan sekarang lebih memahami mengenai kehidupan di Malaysia,” kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram