Hanya main selama 1 minit sepanjang Ogos, Luqman Hakim diharap contohi Akhyar Rashid


  • Podium
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Musim ini, Luqman Hakim hanya mengumpul 317 minit permainan untuk kesemua perlawanan yang disertai Njardvík. — Instagram/Luqman

KHIDMAT penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin dipanggil membantu skuad Bawah 23 tahun (B-23) bola sepak negara bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2024 di Chonburi, Thailand bulan depan.

Nama Luqman Hakim disenaraikan bersama 24 lagi pemain dan antaranya ialah Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Azam Azmi Murad, T. Saravanan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Nooa Laine.

Meskipun ada yang menyambut baik kehadiran pemain berusia 21 tahun itu tapi tidak kurang ada juga penyokong mempersoalkan pemilihannya berikutan kekurangan minit permainan bersama kelabnya iaitu Njardvík.

Kerisauan minit permainan itu hadir selepas difahamkan Luqman Hakim hanya beraksi selama satu minit daripada tiga perlawanan sepanjang bulan Ogos untuk pasukan divisyen dua Iceland itu.

Perlawanan tersebut diperoleh ketika aksi pasukannya menentang UMD Selfoss yang mana menyaksikan Njardvík menang 3-2 ke atas kelabnya tuan rumah pada 17 Ogos 2023.

Dua perlawanan lain hanya menyaksikan Luqman Hakim memanaskan bangku simpanan dan selebihnya pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tidak disenaraikan dalam skuad.

Secara keseluruhan untuk musim ini, Luqman Hakim hanya mengumpul 317 minit permainan untuk kesemua perlawanan yang disertai Njardvík dan menyumbang dua jaringan gol buat pasukan itu.

Bagi sesetengah penyokong pula, walaupun Luqman Hakim tidak mengumpul minit permainan yang banyak seperti pemain lain namun intensiti latihan di luar negara membantu untuk meningkatkan prestasinya.

WhatsApp Image 2023-08-31 at 12.59.49

Akhyar antara pemain yang masih mampu memberi aksi cemerlang bersama skuad kebangsaan walaupun kurang minit permainan. — Instagram/Akhyar

Sebahagian penyokong menjadikan penyerang sayap, Akhyar Rashid sebagai contoh pemain yang kurang minit permainan namun hasil latihan intensiti tinggi bersama Johor Darul Takzim (JDT) membantu mengekalkan staminanya.

“Terpulang dengan intensiti latihan juga. Dulu aku kutuk Harimau Malaya kalau turunkan pemian tiada minit permainan. Tapi sekarang tidak kisah sangat. Sebab latihan JDT dah ibarat aksi sebenar,” kata penyokong, Leonard Leging Sandin.

“Macam Akhyar main perlawanan dengan Malaysia, masih tunjukkan prestasi terbaik,” tambah penyokong, Faizal.

“Harapnya Luqman macam Akhyar. Kurang minit permainan tapi masih boleh meletup dengan skuad keabngsaan. Itu sahaja kita perlukan,” komen penyokong, Khairul Nizam.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H akan memulakan saingan menentang Bangladesh pada 6 September, diikuti aksi bertemu Filipina (9 September) sebelum berdepan pasukan tuan rumah pada aksi terakhir yang dijadual pada 12 September.

Kesemua juara kumpulan bersama empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram