[VIDEO] Salah kacau orang, lelaki mabuk kena 'lock', hampir K.O di tangan atlet MMA terkenal


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Tangkap layar Bennett mempertahankan diri daripada lelaki mabuk tersebut.

SEORANG lelaki mabuk hampir terkulai rebah di tangan atlet seni bela diri campuran (MMA) apabila cuba untuk menumbuknya dalam satu pergaduhan di luar negara.

Pergaduhan di sebuah bilik itu dirakam oleh kamera dan video tersebut dikongsikan secara meluas di media sosial pada Isnin.

Menerusi video tersebut, lelaki mabuk tersebut bertindak menghampiri atlet berkenaan dan mula mengeluarkan kata-kata kesat dan provokasi kepadanya.

‘Awak perogol, awak perogol. Saya akan masukkan awak ke penjara. Awak ada cubaan nak merogol,” dakwa lelaki mabuk berkenaan kepada atlet tersebut.

Menarik dalam video berdurasi satu minit 58 saat tersebut juga, atlet MMA yang dikenali sebagai Charles Bennett itu cuba untuk tidak bertindak agresif kepada lelaki mabuk berkenaan.

Sebaliknya Bennett ataupun nama pentasnya, 'Krazy Horse’ hanya mengunci lelaki yang berbadan lebih besar daripada itu sambil sempat bergurau dengannya dan menyuruh lelaki itu meminta maaf.

Namun sehingga kini, masih tiada laporan rasmi mengenai kejadian berkenaan dan punca lelaki mabuk itu secara tiba-tiba menghampiri Bennett.

Untuk rekod, ‘Krazy Horse' dari Amerika Syarikat terlibat dalam sukan MMA sejak tahun 1999 dengan berkhidmat dalam organisasi berprestij seperti PRIDE Fighting Championships, Rizin FF, EliteXC, King of the Cage, World Extreme Fighting dan ShoXC.

Walaupun tidak pernah memenangi kejuaraan dalam MMA, gaya pertarungan Bennett yang agresif dan mempunyai personaliti unik membuatkannya mempunyai peminat tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram