'Tak salah rehatkan pemain utama', fans Perak beri 3 sebab skuad tewas kepada JDT


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Seperti yang sudah dijangka, JDT membenam Perak FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. —Facebook/PerakFC

SEPERTI yang sudah dijangka, skuad gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) membenam Perak FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.

Malah, pada perlawanan tersebut, skuad Sang Seladang sekan-akan 'tumpul tanduk' apabila ada dalam kalangan pemainnya kelihatan hilang arah melihat kerakusan pemain JDT untuk menjaringkan gol.

Namun tidak boleh diletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada anak-anak buah Yusri Che Lah memandangkan barisan pemain yang diturunkan kebanyakkannya adalah pemain skuad kedua.

Ini kerana barisan tonggak skuad utama sepertinya disimpan untuk aksi timbal balik Piala Malaysia menentang Kedah di Darul Aman nanti, selepas mereka berjaya mencipta kejutan menewaskan skuad Sang Kenari sebelum ini.

Justeru, melihat kepada situasi semasa pasukan berkenaan ditewaskan oleh JDT, seorang penyokong, Abam Brader memberi tiga sebab pasukan The Bos Gaurus (TBG) tidak dapat menjinakkan Harimau Selatan yang sudah berada dalam kelasnya tersendiri.

Apatah lagi, sebagai sebuah kelab elit, JDT selaku pendahulu liga cemerlang tanpa rekod kalah dan mengumpul mata penuh sebanyak 60 dalam 20 perlawanan setakat ini.

366958512_304220732158309_4738596117313827999_n

Sepanjang permainan menentang JDT, boleh dikatakan barisan serangan Perak FC dilihat tumpul dan gagal melakukan percubaan merbahaya. — Facebook/Perak FC

Menurut Abam Brader, tiga kelemahan Perak FC untuk dikenal pasti ialah kualiti kawalan bola, perletakan posisi (positioning) pemain dan kecergasan para pemain.

Jika melihat kepada komen tersebut, skuad Sang Seladang pada ketika ini sememangnya dilihat agak lemah dalam mengawal bola. Sepanjang permainan menentang JDT, boleh dikatakan barisan serangan Perak FC dilihat tumpul dan gagal melakukan percubaan berbahaya ke gawang skuad Harimau Selatan.

Malah ada dalam kalangan penyokong yang berasakan yang perletakan posisi pemainnya juga dilihat agak cacamarba sehingga menyebabkan pasukan itu dibelasah skuad JDT.

Bercerita mengenai faktor kecergasan pula, umum mengetahui JDT mempunyai fasiliti sukan yang terbaik dalam negara. Jadi, tidak hairanlah jika dibandingkan dari segi kecergasan sememangnya pemain Perak FC jauh ketinggalan.

Bagi seorang penyokong, Harry Muhammad pula menyifatkan pasukan JDT ibarat mempunyai dua pasukan yang hebat.

Dia berpendapat sedemikian kerana mengambil kira pemain yang berada dalam kesebelasan utama dan pemain simpanan itu sama-sama hebat.

"Ibarat ada dua pasukan. Pasukan kesebelasan utama dan pasukan simpanan.

"Pemain barisan kesebelasan utama mereka sukar digugat mana-mana pasukan setakat ini. Hanya pasukan simpanan JDT sahaja level pasukan Liga Super lain. Jadi jika nak menang dengan JDT harus ada dua pasukan juga.

"Jika tak, turunkan sahaja pasukan simpanan anda dan rehatkan pemain utama. JDT terlalu jauh nak kalahkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram